Sorting by

×

ILMU KEIBUBAPAAN PANDUAN PENTING BUAT BAKAL IBU

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

TELOK MAS 17 Jun -Setiap wanita menunggu kelahiran cahaya mata perlu mempersiapkan diri daripada aspek fizikal, emosi dan mental yang rapi bagi memastikan kesejahteraan ibu serta bayi.

Atas kesedaran itu, seramai 50 wanita muda, bakal ibu dan ibu yang sedang menyusukan anak menyertai Program HAWA Mommy To Be @ WRUR Telok Mas di Bilik Mesyuarat Japerun Telok Mas, pada Isnin.

Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA) Melaka Datuk Haryaty Hamdzah berkata, program itu dianjurkan bertujuan memberi pendedahan awal kepada wanita mengenai kepentingan penyusuan susu ibu serta cabaran yang bakal dihadapi selepas bergelar ibu.

Menurutnya, program itu dibhagikan kepada tiga slot perkongsian melibatkan Unit Laktasi Hospital Melaka, pengusaha produk kesihatan dan pakar perubatan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Slot pertama memberikan fokus kepada penyusuan bayi dan meningkatkan lagi tahap kesedaran dalam kalangan wanita muda berhubung kebaikan susu ibu kepada bayi.

“Kita mahu wanita, termasuk yang belum berkahwin, mempunyai pengetahuan awal supaya mereka lebih bersedia apabila melangkah ke alam rumah tangga dan mempunyai anak kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program HAWA Mommy To Be @ WRUR Telok Mas bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.

Haryaty berkata, peserta turut didedahkan mengenai aspek kesihatan mental ibu yang sering menjadi cabaran selepas melahirkan anak selain kepentingan sokongan keluarga dalam memastikan proses penyusuan berjalan lancar.

“Pendekatan program berskala kecil dipilih bagi membolehkan peserta berinteraksi secara lebih dekat dengan panel dan mendapatkan jawapan kepada persoalan yang dihadapi.

“Biasanya HAWA Melaka banyak menganjurkan program berkaitan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), namun kali ini kami memilih program berbentuk keibubapaan kerana melihat keperluan masyarakat setempat.

“Telok Mas mempunyai gabungan kawasan kampung, taman perumahan dan komuniti bandar, jadi pendekatan seperti ini dilihat lebih sesuai untuk memberi manfaat secara terus kepada peserta,” katanya.

Program anjuran HAWA Melaka dengan kerjasama Unit Laktasi Hospital Melaka itu turut menampilkan demonstrasi teknik penyusuan yang betul serta pengurusan susu perahan sebagai panduan kepada peserta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

453
Kongsi :
Previous post KISAH IBU MITHALI, TOKOH DAKWAH JADI TUMPUAN SAMBUTAN MAAL HIJRAH MELAKA
Next post ANAK TANJUNG BIDARA TERIMA KOMPUTER RIBA SUMBANGAN ‘TOK RAUF’