Sorting by

×

RM6.87 JUTA NAIK TARAF 134 INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

TELOK MAS 16 Jun – Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM6.87 juta bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf dan penambahbaikan kemudahan melibatkan 134 institusi pendidikan Islam di seluruh Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kelulusan itu merupakan satu perkembangan amat menggembirakan hasil daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperjuangkan keperluan institusi pendidikan Islam di negeri ini.

Menurutnya, peruntukan itu bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya membuktikan bahawa suara dan keperluan rakyat Melaka sentiasa diberi perhatian serta diperjuangkan.

“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan pernah berhenti mengangkat keperluan rakyat dan membawa suara institusi agama ke perhatian Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026M bertemakan ‘MADANI Dihayati Ummah Diberkati’ sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Masjid Al-Falihin, Kampung Alai, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin.

Turut hadir Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri akan terus berusaha mendapatkan sokongan dan bantuan terbaik demi kemajuan pendidikan Islam serta kesejahteraan ummah di negeri ini.

“Selagi ada ruang boleh diusahakan, selagi itulah kita akan terus berjuang mendapatkan sokongan dan bantuan yang terbaik demi kemajuan pendidikan Islam serta kesejahteraan ummah di negeri ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas keprihatinan serta sokongan yang diberikan terhadap pembangunan institusi pendidikan Islam di Melaka.

“Setiap peruntukan diperoleh untuk institusi agama merupakan pelaburan penting dalam membina masa depan generasi muda, memperkukuh ummah dan memartabatkan syiar Islam di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

318
Kongsi :
Previous post WRUR TELOK MAS: NELAYAN HARGAI KEPRIHATINAN TOK AJAK
Next post BAKTI TOKOH MAAL HIJRAH WAJAR JADI SURI TELADAN – AB RAUF