
LEBIH 100,000 RAKYAT MELAKA NIKMATI MANFAAT INISIATIF KEBAJIKAN NEGERI
TELOK MAS 17 Jun – Semangat hijrah yang menuntut perubahan ke arah kehidupan lebih baik diterjemahkan Kerajaan Negeri menerusi pelbagai program kebajikan, keagamaan dan pendekatan komuniti yang memberi manfaat kepada lebih 100,000 rakyat Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, dalam tempoh tiga tahun pentadbiran beliau, lebih RM419 juta telah disalurkan melalui pelbagai inisiatif kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan di seluruh negeri.
Menurutnya, usaha itu selari dengan semangat Maal Hijrah yang bukan sekadar perubahan dari sudut rohani, malah turut merangkumi peningkatan kesejahteraan hidup masyarakat.
“Sebab itu bagi saya, semangat hijrah mesti diterjemahkan melalui dasar yang menyantuni masyarakat, program mendekati rakyat serta usaha berterusan untuk memastikan syiar Islam terus subur di Negeri Melaka.
“Alhamdulillah, sehingga Mei 2026 lebih 1,500 program keagamaan telah digerakkan di seluruh negeri merangkumi program ilmu, dakwah, kebajikan, santunan komuniti serta pengimarahan masjid dan surau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026M bertemakan ‘MADANI Dihayati Ummah Diberkati’ sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Masjid Al-Falihin, Kampung Alai, di sini, semalam.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin.
Turut hadir Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Ab Rauf berkata, sepanjang bulan Muharram ini, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) merangka lebih 200 program keagamaan di setiap daerah bagi menyemarakkan penghayatan Maal Hijrah dalam kalangan masyarakat.
“Selain itu, kutipan zakat negeri sehingga Mei lalu telah mencecah RM62.5 juta, manakala agihan sebanyak RM68.8 juta berjaya disalurkan kepada lebih 8,500 penerima yang layak.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara dan golongan memerlukan tidak tercicir daripada menerima bantuan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


