Sorting by

×

6 INISIATIF UTAMA PERKASA USAHAWAN MELAKA

Masa Membaca:3 Minit, 0 Saat

KESIDANG 17 Jun – Diberi mandat sebagai Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna pada 2023 dimanfaatkan sepenuhnya Allex Seah Shoo Chin dalam memperkasa sektor keusahawanan di negeri ini.

Di bawah beliau, pelbagai inisiatif baharu diperkenalkan bagi memastikan komuniti usahawan di Melaka terus berkembang, berdaya saing dan mampu memanfaatkan peluang ekonomi yang semakin mencabar.

Jelasnya, pendekatan bersepadu perlu dilaksanakan bagi memastikan setiap usahawan mendapat akses kepada maklumat, bantuan dan peluang perniagaan yang disediakan kerajaan memandangkan antara cabaran utama yang dikenal pasti adalah ramai dalam kalangan usahawan tercicir daripada menerima maklumat yang disediakan.

PUSAT SEHENTI USAHAWAN

Bertitik tolak daripada itu, lahirlah sebuah Pusat Sehenti Usahawan Negeri Melaka (One Stop Centre) yang berfungsi sebagai pusat rujukan utama kepada komuniti usahawan.

Menurut Allex, pusat sehenti tersebut menghimpunkan pelbagai maklumat berkaitan inisiatif, bantuan dan peruntukan yang disediakan Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, sebuah kumpulan WhatsApp khas turut diwujudkan bagi membolehkan usahawan menerima maklumat terkini secara terus dan pantas.

“Ketika ini kumpulan tersebut disertai ratusan usahawan yang sentiasa mengikuti perkembangan program serta peluang yang ditawarkan.

“Kita juga telah mewujudkan platform media sosial Pusat Sehenti Usahawan bagi memudahkan penyampaian maklumat kepada komuniti usahawan,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

IKTIRAF USAHAWAN CEMERLANG

Dalam usaha mengiktiraf pencapaian usahawan tempatan pula, Allex turut memperkenalkan Anugerah Usahawan Negeri Melaka yang kini memasuki tahun kedua penganjurannya.

Menurut beliau, anugerah itu bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada usahawan berjaya, malah menjadi pemangkin motivasi kepada usahawan lain untuk terus meningkatkan prestasi perniagaan.

“Antara penerima anugerah sebelum ini ialah seorang usahawan penternakan arnab dari Ayer Molek yang memenangi kategori Usahawan Belia Terbaik. Hari ini perniagaan beliau semakin berkembang dan menjadi antara produk yang mendapat perhatian ramai pengunjung,” katanya.

TRANSFORMASI DIGITAL

Pada masa sama, beliau berkata, transformasi digital turut diberikan perhatian menerusi pelaksanaan platform pemasaran dalam talian bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka yang dikenali sebagai Program E-Dagang ‘Easystore’.

Katanya, platform itu membolehkan usahawan menjalankan transaksi secara digital serta dihubungkan dengan pelbagai platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok Shop.

“Menerusi inisiatif ini, salah seorang usahawan yang menjual biskut berjaya memperoleh jualan kira-kira RM7,000 selepas menyertai platform tersebut.

“Kejayaan seperti ini membuktikan penggunaan teknologi digital mampu membuka pasaran yang lebih luas kepada usahawan tempatan,” katanya.

PERLUAS JARINGAN

Pada masa sama, ujar beliau, Kerajaan Negeri turut memperluaskan peluang pemasaran menerusi pelbagai program dan festival yang dianjurkan sepanjang tahun.

Menurut Allex, program seperti Karnival Usahawan dan Festival Layang-Layang bukan sahaja menarik kehadiran pelancong, malah membuka ruang kepada peniaga tempatan menjana pendapatan tambahan.

Malah, ujar beliau, bermula tahun ini, satu lagi inisiatif baharu dikenali sebagai Jelajah ‘Mana Lagi Melaka Ler’ telah diperkenalkan dengan membawa usahawan tempatan mempromosikan produk mereka ke negeri-negeri lain.

“Siri jelajah ini akan membawa usahawan Melaka ke lokasi dan negeri tumpuan bagi memperkenalkan produk tempatan kepada pasaran yang lebih luas, di mana ia secara tidak langsung memperluaskan rangkaian pelanggan serta membantu meningkatkan jualan,” katanya.

PLATFORM WRUR

Beliau memaklumkan program Jelajah Usahawan yang diperkenalkan lebih awal juga terus diperhebatkan, di mana, ia menjelajah ke 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

Jelasnya, inisiatif itu menjadi platform menghimpunkan pelbagai agensi berkaitan keusahawanan dalam satu lokasi, di mana orang ramai dan usahawan berpeluang mendapatkan khidmat nasihat, pembiayaan dan maklumat secara terus daripada agensi seperti MARA, TEKUN Nasional, SME Corp serta institusi perbankan.

“Kita mahu memudahkan urusan usahawan. Mereka tidak perlu pergi ke banyak tempat untuk mendapatkan maklumat kerana semuanya tersedia dalam satu program.

“Matlamat kita adalah memastikan lebih ramai usahawan Melaka berjaya dan mampu berkembang ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

488
Kongsi :
Previous post BERANI BERDEPAN ISU PRINSIP YB ALLEX
Next post ‘MISTERI’ BANJIR 20 TAHUN SELESAI