Sorting by

×

‘MISTERI’ BANJIR 20 TAHUN SELESAI

Masa Membaca:3 Minit, 27 Saat

KESIDANG 17 Jun – Masalah banjir yang menghantui ribuan penduduk di beberapa kawasan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang selama hampir dua dekad akhirnya berjaya diselesaikan selepas punca sebenar dikenal pasti.

Ia bertitik tolak daripada tindakan yang diambil dengan merobohkan struktur baraj di Sungai Malim yang terbukti menjadi punca utama masalah itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin berkata, penyelesaian itu bukan diperoleh dalam masa singkat, sebaliknya hasil penelitian, pemantauan dan usaha berterusan untuk mencari punca sebenar masalah yang sekian lama membelenggu penduduk.

Menurut beliau, perkara yang menimbulkan persoalan ketika itu adalah kejadian banjir yang berlaku di kawasan seperti Malim Jaya, Taman Merdeka, Taman Tamby Chik Karim dan Merdeka Jaya walaupun hujan tidak turun di kawasan berkenaan.

“Ketika itu, apabila orang maklumkan kawasan hulu seperti Alor Gajah dilanda hujan lebat dan banjir, kita di kawasan ini hanya menunggu masa untuk banjir sahaja.

“Keadaan itu membuatkan saya tertanya-tanya bagaimana air boleh sampai dan menyebabkan banjir besar di kawasan ini,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

TURUN PADANG CARI JAWAPAN

Beliau berkata, bagi mencari jawapan, beliau menggunakan aplikasi Google Maps untuk meneliti sistem aliran sungai dan saliran yang menghubungkan kawasan terjejas.

Hasil penelitian itu mendapati aliran air dari kawasan hulu mempunyai dua laluan utama sebelum mengalir ke laut, iaitu melalui Sungai Melaka dan satu lagi laluan menuju ke kawasan Pulau Gadong serta Klebang.

“Saya tidak puas hati dengan jawapan biasa yang mengatakan banjir berlaku kerana hujan lebat semata-mata.

“Sebab itu saya turun sendiri ke lokasi, meninjau sistem saliran dan bertanya kepada penduduk bagi memahami keadaan sebenar,” katanya.

Menurut Shoo Chin, siasatan di lapangan akhirnya membawa kepada penemuan sebuah struktur baraj yang merentangi Sungai Malim dan dipercayai menghalang aliran air keluar dengan lancar.

Katanya, struktur tersebut menyebabkan kapasiti aliran sungai menjadi terhad apabila air hanya mampu melepasi satu laluan sempit sebelum mengalir ke hilir.

“Saya melihat sendiri bagaimana air dari kawasan hulu tidak dapat mengalir dengan baik kerana dihalang struktur itu.

“Ketika hujan lebat berlaku di kawasan hulu, air akan bertakung dan melimpah ke kawasan perumahan sehingga menyebabkan banjir besar,” katanya.

SIMPATI NASIB MANGSA BANJIR

Beliau berkata, isu tersebut menjadi semakin serius apabila beberapa kejadian banjir besar berlaku berturut-turut pada penghujung tahun 2021 dan awal tahun 2022.

Malah, beliau masih terkenang penderitaan penduduk yang terpaksa berulang kali memindahkan ahli keluarga uzur dan harta benda setiap kali banjir melanda.

“Saya masih ingat seorang wanita muda yang menjaga bapanya yang terlantar. Setiap kali banjir berlaku, dia terpaksa pulang segera dari tempat kerja untuk menyelamatkan ayahnya dan mengangkat barang-barang rumah.

“Ada juga keluarga yang mempunyai beberapa ahli keluarga orang kurang upaya (OKU) dan terpaksa dipindahkan dengan bantuan pasukan penyelamat setiap kali air naik,” katanya.

TAK PUTUS ASA BERJUANG

Keadaan itu mendorong beliau untuk terus membawa isu tersebut ke pelbagai peringkat termasuk melalui siaran langsung media sosial dan Sidang Dewan Undangan Negeri.

Menurutnya, tekanan dan desakan berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila kajian terperinci dijalankan oleh pihak berkaitan.

“Hasil kajian yang dibuat kemudian mengesahkan apa yang saya bangkitkan sebelum ini, iaitu struktur baraj berkenaan merupakan antara punca utama yang menyumbang kepada masalah banjir di kawasan terbabit,” katanya.

Susulan itu, peruntukan disalurkan bagi melaksanakan kerja-kerja merobohkan struktur berkenaan walaupun terdapat bantahan daripada beberapa pihak.

Bagaimanapun, Allex berkata, beliau tetap berpendirian bahawa tindakan tersebut perlu dilaksanakan demi kepentingan ribuan penduduk yang terkesan.

“Hari ini hasilnya dapat dilihat sendiri. Selepas struktur itu dirobohkan, masalah banjir yang sering melanda kawasan seperti Taman Merdeka, Taman Tamby Chik Karim, Merdeka Jaya, Malim Jaya, Melaka Baru, Batu Berendam dan beberapa kawasan lain berkurangan dengan ketara.

“Malah banyak kawasan yang sebelum ini kerap dilanda banjir kini tidak lagi mengalami masalah sama seperti dahulu,” katanya.

PENCAPAIAN BERMAKNA

Beliau menyifatkan kejayaan menyelesaikan isu banjir berkenaan sebagai antara pencapaian paling bermakna sepanjang bergelar wakil rakyat kerana ia memberi manfaat secara langsung kepada ribuan penduduk yang sekian lama hidup dalam kebimbangan setiap kali hujan lebat.

“Bagi saya, tugas wakil rakyat bukan sekadar mendengar aduan, tetapi mencari punca sebenar sesuatu masalah dan berusaha menyelesaikannya.

“Selepas hampir 20 tahun menanggung masalah banjir berulang, akhirnya penduduk dapat menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1070
Kongsi :
Previous post 6 INISIATIF UTAMA PERKASA USAHAWAN MELAKA