
‘TERIMA KASIH BINA SEMULA RUMAH KAMI’
TANJUNG BIDARA 20 Jun – Kesungguhan semua pihak membantu menyegerakan pembinaan kediaman baharu untuk keluarganya amat dihargai oleh mangsa kebakaran Mohd Fairus Hamzah, 53.
Sebelum ini dia bersama isteri Samsiah Hassan, 48, dan dua anak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah pusaka menjadi tempat berteduh di Kampung Balik Hutan, Lubok Redan, Majid Tanah musnah dalam kebakaran jam 9 malam pada 24 Mei lalu.
Katanya, dia amat berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara yang amat cakna dan prihatin terhadap ujian yang ditempuhinya.
“Terima kasih juga kepada semua agensi terlibat seperti Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Pejabatan Daerah dan Tanah Alor Gajah, Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) serta wakil Japerun yang banyak membantu sejak dari hari pertama kejadian berlaku.
“Rumah lama yang musnah dalam kebakaran akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan kediaman baharu oleh LPM. Pada perjumpaan bersama Ketua Menteri beliau mengingatkan saya supaya bersabar atas ujian yang kami sekeluarga lalui sekarang ini,” katanya.
Terdahulu Mohd Fairus menerima kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk berjumpa empat mata dan bertanyakan sendiri kepadanya berhubung kebakaran yang berlaku, pada Khamis.
Program ziarah itu turut dihadiri Setiausaha Politik Ketua Menteri Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Pegawai Tugas Khas MAIM Datuk Wira Md Rawi Mahmud; Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin serta Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim.
Yang turut hadir Setiausaha UMNO Bahagian Masjid Tanah Mohd Hafith Alias; Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara Azizan Daud serta Setiausaha Japerun Tanjung Bidara Ahmad Warid Ismail.
Pada majlis sama beliau turut menerima bantuan khas bencana berjumlah RM3,500 daripada Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah serta sumbangan RM3,000 daripada MAIM.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


