
PENANTIAN 2 DEKAD BERAKHIR, SURAU IMPIAN PENDUDUK TAMAN SERI TELOK MAS FASA 5 DIBINA
TELOK MAS 19 Jun – Penantian lebih dua dekad penduduk Taman Seri Telok Mas Fasa 5 untuk memiliki surau sendiri akhirnya berakhir apabila projek pembinaan surau baharu bernilai RM600,000 dimulakan menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.
Projek yang dijadual bermula pada 13 Julai ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 16 minggu iaitu pada 2 November depan, sekali gus membolehkan penduduk menikmati kemudahan ibadah yang lebih selesa dan sempurna.
Penduduk, Rosli Mahmood, 57, berkata usaha mendapatkan sebuah surau telah dimulakan sejak taman perumahan itu dibuka sekitar tahun 2003, namun pelbagai permohonan yang dikemukakan sebelum ini gagal direalisasikan.
Menurutnya, sekurang-kurangnya empat permohonan pernah dibuat kepada wakil rakyat terdahulu, namun pelbagai kekangan menyebabkan hasrat penduduk terus tertangguh.
“Sejak saya berpindah ke taman ini sekitar tahun 2003, pelbagai permohonan telah dibuat untuk mendapatkan surau, namun tidak berjaya direalisasikan.
“Alhamdulillah, menerusi usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, impian penduduk akhirnya menjadi kenyataan apabila projek pembinaan surau ini dilaksanakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Shafarina Abu Kasim, 50, berkata pembinaan surau tersebut amat dinantikan kerana taman perumahan berkenaan mempunyai lebih 300 kediaman yang selama ini bergantung kepada surau dan masjid yang terletak lebih jauh.
Katanya, penduduk terpaksa berulang-alik sejauh satu hingga dua kilometer untuk menunaikan solat berjemaah serta menyertai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
“Keperluan surau ini memang sangat mendesak kerana selain untuk solat berjemaah, ia juga akan menjadi pusat aktiviti komuniti setempat.
“Insya-Allah apabila siap nanti, penduduk boleh melaksanakan pelbagai program agama dan kemasyarakatan di sini termasuk solat tarawih pada Ramadan tahun hadapan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Tok Ajak kerana berjaya merealisasikan permintaan yang telah sekian lama dinantikan oleh penduduk,” katanya.
Terdahulu, majlis pecah tanah projek pembinaan surau itu telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sempena WRUR DUN Telok Mas, sekali gus menjadi antara projek berimpak tinggi yang membawa manfaat langsung kepada komuniti setempat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


