
DI USIA 89 TAHUN, KHALIL TERIMA KUNJUNGAN ISTIMEWA KETUA MENTERI
TELOK MAS 19 Jun – Seorang warga emas dari Kampung Pengkalan Jajar sama sekali tidak menyangka Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas yang sedang berlangsung kini membawa kepada pertemuannya dengan insan istimewa.
Insan istimewa itu adalah Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang hadir menziarahi Khalil Deris, 89 dan menyampaikan sumbangan.
Anak kepada Khalil, Tijah Khalil, 51, yang mewakili bapanya menzahirkan penghargaan atas kehadiran Ketua Menteri serta barisan kepimpinan negeri yang meluangkan masa bertemu dan bertanya khabar keadaan bapanya yang kini uzur.
“Ayah saya sudah uzur. Terima kasih kepada Ketua Menteri dan semua pemimpin masyarakat yang hadir menunjukkan keprihatinan kepada ayah.
“Menerusi sumbangan yang diberikan, sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami sekeluarga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Kunjungan itu bukan sahaja bertujuan menyantuni warga emas berkenaan, malah menjadi simbol komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan agenda pembangunan digital dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat termasuk golongan warga emas.
Dalam lawatan tersebut, Ketua Menteri turut menyempurnakan penyerahan dan pemasangan pelekat alamat digital di kediaman Khalil sebagai sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif Kampung Digital yang bertujuan memudahkan urusan pencarian alamat, penyampaian bantuan serta perkhidmatan kecemasan.
Menurut Tijah, pelaksanaan inisiatif Kampung Digital turut memberi manfaat besar kepada penduduk setempat kerana membantu memperkemaskan sistem alamat serta memudahkan urusan berkaitan perkhidmatan kerajaan dan kecemasan.
“Apabila Ketua Menteri menjelaskan objektif inisiatif ini yang akan memudahkan urusan penduduk serta meningkatkan kecekapan sistem penyampaian, kami amat bersyukur dan berterima kasih,” katanya.
Terdahulu, lawatan itu turut disertai Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta lain-lain kenamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


