
STPM 2025: MELAKA CATAT PENCAPAIAN MEMBANGGAKAN
TELOK MAS 19 Jun – Melaka terus mengukuhkan reputasinya dalam bidang pendidikan apabila mencatat pencapaian membanggakan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 dengan 13 sekolah merekodkan kelulusan 100 peratus, manakala 36 pelajar berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sempurna 4.00.
Lebih membanggakan, negeri ini turut melahirkan Pelajar Terbaik Kebangsaan Kategori Aliran Sains STPM menerusi pelajar dari Kolej Tingkatan Enam (KTE) Tun Fatimah, Durian Daun.
Malah, KTE Tun Fatimah turut mengharumkan nama Melaka apabila dinobatkan sebagai Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM bagi Kategori Kolej Tingkatan Enam.
Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah berkata, prestasi keseluruhan negeri turut menunjukkan peningkatan apabila PNGK Melaka meningkat daripada 2.88 pada tahun 2024 kepada 2.93 pada tahun 2025.
Menurut beliau, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan warga pendidik, pelajar dan ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan pendidikan negeri terus diperkasakan.
“Pencapaian ini adalah hasil dedikasi para guru yang tidak pernah mengenal erti jemu dalam mendidik, membimbing dan membentuk masa depan anak bangsa.
“Dunia masa kini memerlukan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut memiliki kemahiran berfikir, daya tahan tinggi, integriti dan semangat kepimpinan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi STPM 2025 Negeri Melaka di Dewan As-Sharifah, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, Karim Tumin yang menjalankan tugas Pengarah Pendidikan Negeri Melaka.
Rosli berkata, kejayaan yang dicapai oleh para pelajar bukan sekadar diukur melalui keputusan peperiksaan semata-mata, sebaliknya mencerminkan kesungguhan mereka dalam mengatasi pelbagai cabaran sepanjang menuntut ilmu.
“Kerajaan Negeri percaya bahawa pelaburan dalam bidang pendidikan merupakan pelaburan terbaik untuk masa depan negeri dan negara, justeru usaha melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing akan terus menjadi agenda utama pembangunan Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


