
DEMI TELOK MAS, 479 ASNAF DISANTUNI
TELOK MAS 19 Jun – Seramai 479 golongan asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas disantuni dan diraikan pada program Sentuhan Kasih Asnaf bersempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, program itu merupakan antara inisiatif berterusan bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan menerusi kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta dengan penyampaian sumbangan.
Beliau memaklumkan, pada tahun ini, bilangan asnaf di DUN Telok Mas telah merekodkan penurunan berbanding lebih 500 penerima bantuan sebelum ini, sekali gus membuktikan pelbagai inisiatif disediakan Kerajaan Negeri dapat mengeluarkan sebahagian daripada mereka daripada kepompong kemiskinan.
“Menerusi program ini, setiap asnaf menerima sumbangan barangan keperluan harian yang disumbangkan Akademi Al Bayan selain bantuan wang tunai daripada Japerun Telok Mas.
“Kita berharap sumbangan ini dapat meringankan beban golongan asnaf di Telok Mas ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas program berkenaan.
Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta lain-lain kenamaan.
Abdul Razak yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, sumbangan kepada asnaf merupakan program berkala di DUN Telok Mas yang lazimnya diadakan setiap empat bulan sekali.
Jelas beliau, inisiatif itu digerakkan sebagai tanda sokongan pihaknya selaku wakil rakyat dalam membantu meringankan beban insan memerlukan selain daripada hanya bergantung harap kepada bantuan bulanan.
Beliau turut mengalu-alukan lebih banyak syarikat swasta dan NGO untuk tampil bersama membantu golongan memerlukan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Beliau turut memuji inisiatif Klinik MediPulih yang tampil dengan sumbangan Kad Rahmah Bloom Mekar bagi membantu golongan B40 dan warga emas mendapatkan rawatan kesihatan pada kadar lebih berpatutan di klinik swasta tersebut.
“Sebagai wakil rakyat Telok Mas, saya sentiasa membuka ruang kepada mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dalam usaha mengurangkan beban mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


