
TELOK MAS DAPAT PROJEK INFRASTRUKTUR LEBIH RM10 JUTA
TELOK MAS 19 Jun – Projek infrastruktur membabitkan naik taraf longkang kepada longang monsun bernilai lebih RM10 juta bakal dinikmati rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas tidak lama lagi.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, dua projek besar itu diluluskan di bawah peruntukan Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan akan dilaksanakan pada hujung tahun ini.
Jelas beliau, projek tersebut membabitkan kerja-kerja naik taraf longkang kepada longkang monsun, sekali gus menangani masalah banjir jalan raya.
“Peruntukan ini membabitkan dua buah projek iaitu satu bernilai hampir RM5 juta dan satu lagi bernilai RM5 juta, di mana ini merupakan projek bersambung dan dijangka siap pada 2027.
“Projek ini merupakan antara perkara yang diangkat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman demi kesejahteraan rakyat di kawasan Telok Mas,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sentuhan Kasih Asnaf sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Padang Bola Taman Seri Telok Mas, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Abdul Razak.
Menurut Hameed, sempena WRUR juga, DUN Telok Mas telah menerima peruntukan berjumlah RM510,000 bagi empat projek pembaikan, penyelenggaraan dan menaik taraf longkang, parit saliran, jalan serta pembetung.
Daripada jumlah itu, ujar beliau, RM200,000 diperuntukkan di Jalan Umbai-Pernu bagi pembaikan longkang konkrit dan pembetung, manakala RM200,000 lagi di Jalan Pantai Nekmat dan Jalan Cempaka bagi penyelenggaraan longkang.
Selain itu, RM40,000 diperuntukkan bagi penyelenggaraan sistem saliran di Jalan Parit Sungai Mati dan RM70,000 pula bagi menaik taraf sistem perparitan di Jalan AP 21, Taman Alai Perdana.
“Pada masa sama, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah memasang ‘speed breaker’ di lima kawasan dalam DUN Telok Mas yang merupakan jalan tumpuan awam seperti masjid, depan sekolah dan kawasan ‘hotspot’ kemalangan.
“Alhamdulillah, setakat ini, hampir 70 peratus permintaan penambahbaikan infrastruktur dikemukan Adun Telok Mas telah diluluskan sama ada menerusi bajet Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


