Sorting by

×

SHELTER MERLIMAU TANGANI ISU HAIWAN TERBIAR MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

MERLIMAU 19 Jun – Shelter Merlimau iaitu pusat perlindungan haiwan berlesen pertama di Melaka diyakini mampu menangani pelbagai isu melibatkan haiwan terbiar di negeri ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, inisiatif itu adalah hasil komitmen Kerajaan Melaka bersama badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Pencinta Hidupan Negeri Melaka (PPHM).

Katanya, Shelter Merlimau dibangunkan di tapak milik Kerajaan Negeri seluas 2.3 ekar dan diusahakan bersama PPHM mampu memuatkan kira-kira 2,500 haiwan terbiar (anjing dan kucing).

“Fasa pertama projek ini melibatkan kos hampir RM700,000 dibina menggunakan kaedah pajakan token bernilai RM2,000 setahun dengan kos pembinaan serta operasi ditanggung oleh PPHM.

“Kerajaan negeri berharap model kerjasama ini dapat diperluaskan ke setiap daerah pada masa akan datang selain menggalakkan orang ramai menyalurkan sumbangan kepada NGO bagi memastikan kebajikan haiwan terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Shelter Merlimau, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datuk Sapiah Haron serta tetamu lain.

Tambah Rais, pusat perlindungan itu akan menjadi pusat penempatan haiwan terbiar yang ditangkap pihak berkuasa tempatan sebelum menjalani kuarantin, vaksinasi dan proses pemandulan bagi mengawal populasi haiwan terbiar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

684
Kongsi :
Previous post TELOK MAS DAPAT PROJEK INFRASTRUKTUR LEBIH RM10 JUTA