
59 MUALAF BAHARU DIREKODKAN DI MELAKA SETAKAT JUN
KESIDANG 22 Jun – Seramai 59 individu memeluk Islam di Melaka sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini, sekali gus menghampiri 50 peratus sasaran 150 pengislaman bagi 2026.
Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, pencapaian itu menunjukkan perkembangan positif selain mencerminkan keberkesanan program pendidikan dan bimbingan yang dilaksanakan kepada golongan mualaf.
Beliau berkata, keadaan semasa yang semakin stabil turut membolehkan kelas pengajian dan aktiviti bimbingan berjalan lancar berbanding ketika negara berdepan pandemik COVID-19 sebelum ini.
“Sehingga Jun 2026, kita telah merekodkan 59 individu bersyahadah. Ia merupakan pencapaian yang hampir mencecah 50 peratus daripada sasaran awal tahun ini.
“Alhamdulillah, kelas-kelas pengajian dapat berjalan dengan baik dan tiada lagi halangan seperti ketika pandemik yang menyukarkan kehadiran peserta ke kelas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Pernikahan dan Walimatul Urus Muallaf Negeri Melaka Siri 1/2026 mewakili Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman di Laman Kaca Tengkera, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam (MAIM) Mohd Nasir Wahab.
Menurutnya, pelbagai program pendidikan dan bimbingan dianjurkan menerusi Balai Islam MAIM bagi membantu memberi gambaran jelas mengenai ajaran Islam serta tanggungjawab seorang Muslim dalam menjalani kehidupan berlandaskan syariat.
“Tetapi kita tetap berhati-hati dalam menguruskan pendaftaran pengislaman bagi memastikan setiap individu yang memilih Islam benar-benar mempunyai keinginan dan kefahaman jelas terhadap agama Islam.
“Walaupun sasaran tahun ini adalah 150 orang, kita tidak terlalu mengejar angka. Apa yang lebih penting ialah memastikan mereka yang datang untuk bersyahadah mempunyai kehendak dan kesediaan sebenar.
“Kita mahu setiap insan yang memilih Islam melalui proses pembelajaran dan penghayatan berkesan supaya mereka dapat memahami serta mengamalkan ajaran agama dengan baik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

