
SHANMUGAM CHIEF DE MISSION MELAKA KE SUKMA SELANGOR
AYER KEROH 22 Jun – Pelantikan sebagai ‘Chief de Mission’ Melaka ke Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 buat kali ketiga disifatkan sebagai satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh komitmen demi memastikan sasaran kutipan pingat emas dapat direalisasikan.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam berkata, kepercayaan diberikan tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan kebajikan atlet, pengurusan kontinjen serta pencapaian keseluruhan Melaka pada temasya berkenaan.
“Ini kali ketiga dilantik sebagai Ketua Kontinjen SUKMA Melaka selepas SUKMA Kuala Lumpur 2022 diikuti SUKMA Sarawak 2024 dan saya berbesar hati dengan kepercayaan diberikan.
“Tanggungjawab ini saya akan laksanakan sebaik mungkin berbekalkan pengalaman sebelum ini malah dengan kerjasama semua pihak termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka dan persatuan kita mampu mencapai sasaran kutipan pingat emas ditetapkan.
“Tahap persiapan atlet kini telah mencapai kira-kira 90 peratus dengan kebanyakan atlet berada pada fasa akhir latihan dan pemantapan prestasi sebelum bermula temasya sukan dwitahunan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Jun 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin selaku penganjur perhimpunan kali ini, Ketua-ketua Jabatan Negeri Melaka serta Persekutuan.
Shanmugam berkata, inisiatif pelantikan bapa angkat, jabatan angkat dan anak angkat dilaksanakan Kerajaan Negeri amat membantu dalam memastikan keperluan dan kebajiakn atlet sentiasa terpelihara selain memperkasakan persediaan kontinjen Melaka.
“Saya amat teruja dengan penyampaian sijil pelantikan ini kerana ia membuktikan komitmen bersama dalam memastikan atlet negeri mendapat sokongan terbaik.
“Tujuan pelantikan bapa angkat, jabatan angkat dan anak angkat ini adalah untuk meringankan beban yang dipikul oleh persatuan sukan khususnya dalam aspek logistik dan pelbagai keperluan atlet sepanjang persediaan menghadapi SUKMA Selangor,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


