
‘RAMAI KATA STPM SUSAH, ZHEN HONG SAHUT CABARAN JADI TERBAIK’
TELOK MAS 22 Jun – Tanggapan ramai bahawa sukar untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dianggap sebagai satu motivasi mendorong Ng Zhen Hong untuk membuktikan bahaya kejayaan itu bukan sesuatu yang mustahil.
Hasil kesungguhan dan disiplin yang tinggi, anak muda berusia 20 tahun itu bukan sahaja berjaya memperoleh keputusan cemerlang, malah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan Kategori Aliran Sains STPM 2025.
Pelajar Kolej Tingkatan Enam (KTE) Tun Fatimah, Durian Daun itu berkata, dia sebenarnya menetapkan sasaran tinggi sejak awal pengajian kerana mahu mencabar kemampuan diri sendiri.
“Saya memang mensasarkan keputusan seperti ini tetapi tidak sangka akan dinobatkan sebagai pelajar terbaik kebangsaan kerana ramai orang cakap STPM sangat susah dan untuk dapat PNGK 4.00 bukan sesuatu yang mudah.
“Disebabkan itulah saya cabar diri sendiri untuk buktikan bahawa ia boleh dicapai jika berusaha bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan STPM.
Terdahulu Zhen Hong menerima sijil penghargaan pada Majlis Apresiasi STPM 2025 Negeri Melaka yang disampaikan oleh Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah di Dewan As-Sharifah SMKA Sharifah Rodziah, pada Jumaat.
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata minat mendalam terhadap subjek sains sejak di bangku sekolah menjadi antara faktor utama yang membantu dirinya mengekalkan motivasi sepanjang tempoh pengajian.
“Saya memang suka subjek sains kerana banyak melibatkan pengiraan dan penyelesaian masalah. Apabila kita minat sesuatu perkara, proses belajar menjadi lebih menyeronokkan.
“Saya hanya memperuntukkan satu hingga dua jam sehari untuk belajar, tetapi yang penting ialah konsisten dan fokus terhadap apa yang dipelajari,” katanya.
Katanya, kejayaan tersebut bukan usaha individu semata-mata, sebaliknya hasil sokongan ramai pihak yang sentiasa percaya terhadap kemampuannya.
“Saya sangat berterima kasih kepada ibu bapa dan guru-guru yang sentiasa membantu serta memberi semangat sepanjang saya belajar.
“Mereka banyak memainkan peranan dalam memastikan saya terus fokus untuk mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya.
Mengulas perancangan masa depannya, Zhen Hong berkata dia berhasrat melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Kejuruteraan Kimia atau Kejuruteraan Elektrikal bagi merealisasikan cita-citanya menjadi seorang jurutera.
“Kejayaan yang diraih hari ini membuktikan bahawa setiap cabaran mampu diatasi sekiranya seseorang itu berani menetapkan sasaran tinggi dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapainya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


