Sorting by

×

MELAKA PASANG LEBIH 100 ‘SPEED BREAKER’ TEBAL KURANGKAN RISIKO KEMALANGAN

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

TELOK MAS 22 Jun – Kerajaan Negeri Melaka telah melaksanakan pemasangan dan penambahbaikan lebih 100 ‘speed breaker’ (bonggol jalan) di lokasi yang dikenal pasti berisiko kemalangan seluruh negeri ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, inisiatif itu melibatkan bonggol jalan baharu serta kerja naik taraf kemudahan sedia ada bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Katanya, langkah itu dilaksanakan selepas mengambil kira peningkatan jumlah kenderaan dan aduan penduduk di kawasan ‘hotspot’ kemalangan.

“Kita mohon rakyat dapat menerima keadaan bonggol jalan yang mungkin lebih tebal daripada kebiasaan kerana ia bertujuan memperlahankan pergerakan kenderaan dan mengelakkan kemalangan.

“Ini merupakan antara langkah yang boleh dilaksanakan di kawasan kerap berlaku kemalangan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Majlis Sentuhan Kasih Asnaf sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman di Padang Bola Sepak Taman Seri Telok Mas, di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Hameed berkata, spesifikasi bonggol jalan yang lebih tebal bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya telah lama diperkenalkan namun kini dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan semasa memandangkan terdapat penambahan bilangan kenderaan di atas jalan raya.

“Kebanyakan bonggol-bonggol jalan ini dipasang di kawasan sekolah, masjid dan lokasi yang mempunyai pergerakan pejalan kaki yang tinggi.

“Pengguna jalan raya juga perlu mematuhi had kelajuan bawah 30 kilometer (km)/sejam di kawasan terbabit bagi menjamin keselamatan semua pihak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

567
Kongsi :
Previous post KECEMERLANGAN ANAK MELAKA BUKAN KEBETULAN, TETAPI HASIL KOMITMEN KERAJAAN NEGERI PERKASA ASPEK PENDIDIKAN
Next post ‘RAMAI KATA STPM SUSAH, ZHEN HONG SAHUT CABARAN JADI TERBAIK’