Sorting by

×

KECEMERLANGAN ANAK MELAKA BUKAN KEBETULAN, TETAPI HASIL KOMITMEN KERAJAAN NEGERI PERKASA ASPEK PENDIDIKAN

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 22 Jun – Keputusan membanggakan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2025 diraih Negeri Melaka bukan satu kebetulan, tetapi hasil daripada komitmen Kerajaan Negeri yang amat mementingkan aspek kecemerlangan akademik.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf berkata, ianya berakar daripada dasar dan perancangan Kerajaan Negeri yang digerakkan secara konsisten bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).

“Antaranya menerusi Inisiatif Bijak STPM yang telah memberi manfaat kepada 1,325 orang calon STPM 2025, di samping lebih 190 program kecemerlangan lain yang terus diperkasa khusus untuk anak-anak Melaka.

“Sudah tentu, kejayaan ini turut dipacu oleh dedikasi luar biasa guru-guru Melaka yang terus mengharumkan nama negeri, termasuk Encik Abdul Rasid yang dinobatkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2026,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bulan Jun 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin selaku penganjur perhimpunan kali ini, Ketua-ketua Jabatan Negeri Melaka serta Persekutuan.

Ab Rauf berkata, bagi memperkukuh lagi ekosistem pendidikan negeri Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM4.43 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja pembaikan dan naik taraf melibatkan empat sekolah di Melaka iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota, SMK Tinggi Melaka, SMK Dang Anum dan Sekolah Kebangsaan Dato’ Naning.

“Bukan empat buah sekolah ini sahaja sebanyak RM6.87 juta lagi turut diluluskan bagi memperkukuh prasarana di 134 buah institusi pendidikan Islam seluruh Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

405
Kongsi :
Previous post MELAKA KOMITED PERKUKUH ASPEK KESELAMATAN AWAM
Next post MELAKA PASANG LEBIH 100 ‘SPEED BREAKER’ TEBAL KURANGKAN RISIKO KEMALANGAN