Sorting by

×

MUBARAK ALI, LEGENDA TAKRAW YANG TIDAK DILUPAKAN

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KESIDANG 21 Jun – Walaupun negerinya kecil, siapa sangka Melaka pernah melahirkan ramai bintang dalam acara sukan, termasuklah sepak takraw.

Antara yang kini bergelar legenda adalah Mubarak Ali S. Mohamed Kassim, 64, bekas tekong kebangsaan ketika era 1980-an.

Anak jati Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang yang menetap Taman Pandan Indah itu pernah menjadi antara watak penting negara dalam meraih pelbagai kejuaraan di persada antarabangsa.

Antara kejayaan bermaknanya adalah meraih pingat emas pada temasya Sukan Sea dan Sukan Asia, selain beberapa kejohanan bertaraf antarabangsa lain sepanjang tempoh 1982 hingga 1987.

“Saya mula menceburi sukan sepak takraw pada usia 14 tahun sebelum mewakili Melaka ketika berusia 16 tahun dan menyertai pasukan kebangsaan pada tahun 1982.

“Pada ketika itu, Melaka menjadi antara ‘kilang’ melahirkan pemain sepak takraw berbakat sehingga mampu menembusi skuad kebangsaan dan bersaing dengan kuasa besar sepak takraw seperti Thailand,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut bapa kepada empat anak itu, antara kenangan paling manis sepanjang bergelar atlet adalah apabila berjaya membantu Malaysia menewaskan pasukan-pasukan gergasi dan berdiri di podium sebagai juara.

“Perasaan mengharumkan nama negara memang tidak dapat digambarkan. Ketika itu Thailand merupakan pasukan yang sangat kuat dan menjadi pencabar utama dalam setiap kejohanan.

“Jadi apabila berjaya menewaskan mereka dan meraih pingat emas, ia menjadi satu kebanggaan besar buat kami sebagai pemain negara,” katanya.

Mubarak Ali pernah dinobatkan sebagai Olahragawan Melaka pada tahun 1984 dan 1985 berharap kegemilangan yang pernah dikecapi itu dapat dijadikan inspirasi kepada generasi muda untuk mengembalikan semula reputasi Melaka sebagai antara kuasa besar sepak takraw negara menerusi pembangunan lebih ramai bakat anak jati.

Atas pencapaian tersebut, dia dipilih sebagai Ikon Sukan DUN Kesidang sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Kesidang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

403
Kongsi :
Previous post MTSB GILAP BAKAT CILIK MELALUI KEJOHANAN RAGBI PIALA TOK AJAK 2026
Next post KUSKOP PERKENAL RAK HEBATKAN PERNIAGAAN MALAYSIA