Sorting by

×

MTSB GILAP BAKAT CILIK MELALUI KEJOHANAN RAGBI PIALA TOK AJAK 2026

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

TELOK MAS 21 Jun – Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) komited mencungkil dan menggilap bakat muda dalam sukan ragbi menerusi Kejohanan Ragbi Piala Tok Ajak 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, di sini, semalam.

Kejohanan yang berlangsung di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas itu menghimpunkan lebih 200 peserta mewakili 16 pasukan sekolah rendah dalam Parlimen Kota Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif MTSB Nur Azan Hassan berkata, penganjuran kejohanan buat julung kalinya itu dilihat sebagai platform penting dalam usaha melahirkan bakat baharu sukan ragbi peringkat akar umbi.

“Keputusan keseluruhan kejohanan ini bagi kategori Bawah 10 Lelaki, Sekolah Kebangsaan (SK) Pernu muncul juara selepas menampilkan aksi konsisten sepanjang kejohanan, manakala SK Duyong terpaksa berpuas hati sebagai naib johan.

“Sementara itu, bagi kategori Bawah 12 Perempuan, SK Ayer Molek berjaya merangkul gelaran juara selepas mengetepikan saingan SK Malim yang muncul naib johan.

“Kesemua pasukan yang berjaya meraih kemenangan membawa pulang pingat dan piala kemenangan masing-masing sebagai penghargaan atas pencapaian dan semangat kesukanan yang ditunjukkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Ragbi Piala Tok Ajak 2026 sempena WRUR DUN Telok Mas di SMK Telok Mas.

Mengulas lanjut, Nur Azan berkata, meskipun pertama kali diadakan, penganjuran itu dilihat memberi nilai tambah kepada MTSB sendiri dalam menjayakan sebarang program sukan di luar Banda Hilir.

Tambahnya, kejohanan itu boleh dijadikan antara landasan terbaik dalam memperkukuh pembangunan sukan ragbi di peringkat sekolah rendah di negeri ini.

“Selain mencungkil bakat cilik dalam sukan ragbi, kejohanan ini turut menyemarakkan lagi Program WRUR DUN Telok Mas yang memberi fokus kepada penglibatan komuniti setempat melalui pelbagai aktiviti sukan dan masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

413
Kongsi :
Previous post LIMA TAHUN TOK AJAK, 328 PROJEK PEMBANGUNAN DIBAWA KE TELOK MAS
Next post MUBARAK ALI, LEGENDA TAKRAW YANG TIDAK DILUPAKAN