
KUSKOP PERKENAL RAK HEBATKAN PERNIAGAAN MALAYSIA
KOTA LAKSAMANA 21 Jun – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memperkenalkan satu lagi inisiatif baharu yang dinamakan Rak Hebatkan Perniagaan Malaysia.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif itu diperkenalkan bagi membantu memasar serta mempromosikan pelbagai produk buatan usahawan tempatan untuk lebih dikenali.
Jelas beliau, antara cabaran peniaga kecil sebelum ini adalah kesukaran untuk menembusi pasaran lebih besar di peringkat peruncitan atau pasar raya kerana ia memerlukan satu kos yang mungkin membebankan mereka yang baru memulakan perniagaan.
Atas faktor itu, beliau berkata, usaha itu akan dimulakan di bawah UDA Holdings Bhd menerusi MARi Mart untuk mengetengahkan pelbagai produk berkualiti yang diusahakan rakyat Malaysia.
“Untuk permulaan kita buat menerusi projek rintis di MARi Mart di bawah UDA Holdings Bhd dan selepas itu kita akan berbincang dengan syarikat-syarikat peruncitan lain supaya inisiatif Rak Hebatkan Perniagaan Malaysia ini dapat diperhebat dan diperluaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 Edisi Melaka yang disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Morten Walk, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Allex Seah Shoo Chin bersama Timbalannya Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud serta lain-lain kenamaan.
Menurut Steven, selain dipasarkan secara fizikal di kedai-kedai, inisiatif Rak Hebatkan Perniagaan Malaysia juga akan diperkasakan secara maya menerusi platform digital dan e-dagang.
“Kita akan berbincang juga dengan syarikat-syarikat e-dagang untuk sediakan ruangan atau bahagian tertentu supaya kita dapat menonjolkan rak produk buatan tempatan ini secara virtual atau maya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


