
PINJAMAN TEKUN BAWAH RM20,000 LULUS DALAM 24 JAM
KOTA LAKSAMANA 21 Jun – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensinya, TEKUN Nasional, kini menyasarkan untuk memperkenalkan kelulusan pembiayaan berjumlah RM20,000 dan ke bawah dalam tempoh masa 24 jam menjelang penghujung tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah itu diambil bagi membantu usahawan mikro dan kecil yang memerlukan wang pusingan dengan segera.
Jelas beliau, ketika ini projek rintis bagi pelaksanaan kelulusan 24 jam itu sedang dilakukan dan ia dijangka akan dilancarkan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.
“Selain itu, bagi permohonan pembiayaan TEKUN sehingga RM100,000, saya telah mengumumkan bahawa ia kini akan diproses dan diluluskan dalam tempoh tujuh hari.
“Manakala, bagi pembiayaan di bawah SME Bank dan Bank Rakyat bagi RM1 juta dan ke bawah, proses dan permohonan sama ada diluluskan atau tidak akan dilakukan dalam tempoh 14 hari, berbeza berbanding sebelum ini yang memakan masa 40 hari atau dua bulan.
“Kita sedang mengubah cara kerajaan menyampaikan perkhidmatan kepada usahawan. Pembiayaan tidak seharusnya dibebankan dengan proses yang terlalu panjang dan birokratik dan kita mahu usahawan memberi tumpuan kepada membina perniagaan, manakala kerajaan memastikan sokongan sampai dengan lebih pantas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 Edisi Melaka yang disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Morten Walk, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Allex Seah Shoo Chin bersama Timbalannya Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Steven memaklumkan, TEKUN turut melancarkan portal TEKUN Nasional 2.0 yang menjadi sebuah platform digital sehenti dalam membantu usahawan di seluruh negara.
Jelas beliau, portal itu membolehkan usahawan mendapatkan maklumat pembiayaan, membuat permohonan secara dalam talian, menyemak status permohonan, mengakses hebahan program dan latihan keusahawanan serta mendapatkan maklumat berkaitan pejabat TEKUN di seluruh negara.
“Menerusi pelbagai inisiatif yang dilakukan ini kita memahu membantu perniagaan di Malaysia terus bersaing dan berkembang maju. Oleh sebab itu, kerajaan perlu cepat, perlu efektif dan efisien dalam aspek penyampaian perkhidmatan kepada usahawan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


