
AGENDA BANTU RAKYAT JADI AMALAN DI TELOK MAS
TELOK MAS 21 Jun – Agenda kesejahteraan rakyat menerusi pelbagai bentuk bantuan menjadi antara rutin berterusan dilaksanakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman sepanjang lima tahun diberi mandat sebagai wakil rakyat kawasan itu.
Ia dibuktikan apabila lebih 6,098 penerima Telok Mas telah menerima bantuan makanan, kebajikan, kesihatan serta pelbagai bentuk bantuan lain dengan nilai keseluruhan melebihi RM1.2 juta.
Selain itu, Abdul Razak berkata, bantuan untuk golongan memerlukan turut diberi perhatian, umpamanya, sumbangan katil pesakit, di mana sehingga kini sebanyak 213 katil telah disalurkan kepada pesakit di seluruh Telok Mas.
“Pada masa yang sama, pelbagai usaha turut dilaksanakan bagi membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup termasuk penganjuran Program Jualan Murah yang telah dimulakan di Telok Mas sejak tahun 2022 sebelum diteruskan melalui Program Jualan Rahmah, melibatkan 70 siri penganjuran.
“Selain itu, program minyak percuma turut dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif bagi membantu meringankan beban kos sara hidup, di mana ia telah memberi manfaat kepada seramai 15,000 orang di Telok Mas dengan nilai keseluruhan bantuan mencecah RM177,000.
“Malah, keprihatinan Kerajaan Negeri terus dirasai rakyat melalui Inisiatif Ambulans Negeri Melaka yang telah membantu warga Telok Mas sebanyak 274 kali setakat ini dengan memberi manfaat besar khususnya kepada pesakit, warga emas dan golongan yang memerlukan pengangkutan bagi mendapatkan rawatan, sekaligus meringankan beban rakyat yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Kota Melaka: Kampung Kita DUN Telok Mas yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Padang Bola Taman Seri Telok Mas, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Turut bersama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Kesidang Allex Seah Shoo Chin; Adun Banda Hilir Leng Chau Yen serta lain-lain kenamaan.
Abdul Razak turut berkongsi inisiatif istimewa yang hanya ada di Telok Mas iaitu sumbangan beras percuma 100 kilogram yang diberikan kepada pasangan pengantin baharu sebagai tanda meraikan dan berkongsi kegembiraan.
Jelas beliau, sehingga kini, inisiatif itu telah memberi manfaat kepada 973 pasangan pengantin, melibatkan agihan sebanyak 21,000 kampit beras dengan nilai keseluruhan mencecah RM400,000.
“Pada masa sama, pelbagai inisiatif pendidikan telah dilaksanakan bagi membantu Anak-Anak Telok Mas. Melalui Program SPM, seramai 1,694 pelajar telah menerima manfaat, manakala 255 pelajar Tingkatan 5 dan institusi pengajian tinggi telah menerima Insentif Pelajar Cemerlang dengan nilai keseluruhan bantuan pendidikan sebanyak RM244,200.
“Malah, murid tabika KEMAS turut kita bantu dengan menyelesaikan bayaran yuran tabika mereka,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


