Sorting by

×

MELAKA KOMITED LAHIR LEBIH RAMAI USAHAWAN PELANCONGAN, BELIA

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

KOTA LAKSAMANA 21 Jun – Sebagai sebuah negeri yang terkenal dengan warisan sejarah, pelancongan dan perdagangan, Melaka komited untuk melahirkan usahawan dan koperasi dalam sektor tersebut.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, potensi besar itu dilihat boleh dikembangkan bukan sahaja dalam pelancongan, bahkan subsektor di bawahnya seperti makanan dan minuman, ekonomi kreatif, ekonomi digital serta industri berasaskan warisan dan budaya tempatan.

Jelas beliau, selaras dengan aspirasi Melakaku Maju Jaya 2035, Kerajaan Negeri komited untuk membangunkan ekonomi yang inklusif, berdaya tahan dan berteraskan inovasi, justeru usahawan mikro, kecil dan sederhana, serta koperasi memainkan peranan yang amat penting sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, penyedia peluang pekerjaan dan menjadi penggerak aktiviti ekonomi tempatan.

“Justeru, Kerajaan Negeri amat menghargai pelbagai inisiatif keusahawanan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) termasuk PowerUP 10K, pengukuhan akses pembiayaan, pembangunan kapasiti usahawan serta usaha memperluaskan akses pasaran yang mampu membantu PMKS tempatan, termasuk dari Melaka untuk berkembang ke tahap yang lebih tinggi.

“Bagi tujuan ini, Negeri Melaka sentiasa bersedia menjadi rakan strategik dan lokasi pilihan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan usahawan demi manfaat rakyat dan komuniti perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 Edisi Melaka di Morten Walk, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong bersama Timbalan Menterinya Datuk Mohamad Alamin; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Allex Seah Shoo Chin bersama Timbalannya Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, selain pelancongan, tumpuan turut diberikan kepada usaha melahirkan lebih ramai usahawan belia yang lebih berdaya saing dalam ekonomi masa hadapan.

Oleh itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri telah memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, TVET, digitalisasi dan penggunaan teknologi dalam kalangan usahawan, khususnya golongan muda.

“Bagi kami, agenda ini bukan sekadar slogan atau perancangan di atas kertas, sebaliknya merupakan antara fokus utama yang sedang diberi perhatian serius dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan yang bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa depan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik usaha KUSKOP dalam memperkukuh Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) termasuk pengiktirafan melalui pendaftaran cap dagangan rasmi SDSI.

Ketua Menteri percaya, inisiatif itu mampu meningkatkan nilai komersial produk tempatan serta memperkukuh identiti dan penjenamaan produk berasaskan keunikan daerah.

“Negeri Melaka sendiri, sudah tentu, mempunyai pelbagai produk berpotensi tinggi seperti Kuih Bakar Alor Gajah dan Dodol Jasin yang boleh terus diketengahkan ke pasaran yang lebih luas melalui platform dan sokongan yang disediakan di bawah SDSI,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

320
Kongsi :
Previous post AGENDA BANTU RAKYAT JADI AMALAN DI TELOK MAS
Next post HARGA DIESEL BERSUBSIDI RM2.10 SELITER UNTUK RAKYAT MALAYSIA MULAI JULAI – PM ANWAR