Sorting by

×

LPM SELESAI BINA 10 RUMAH TRANSIT

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 23 Jun – Sebanyak 10 unit rumah transit telah siap dibina oleh Lembaga Perumahan Melaka (LPM) di seluruh negeri setakat ini sebagai inisiatif menyediakan penempatan sementara kepada penduduk yang terjejas akibat bencana, kecemasan dan keperluan mendesak.

Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin berkata, pembinaan rumah transit itu adalah antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan secara berterusan LPM bagi membantu rakyat.

Katanya, menerusi program ini Kerajaan Negeri menerusi LPM menyasarkan kesemua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mempunyai kemudahan rumah transit.

“Sehingga kini kita telah berjaya siapkan sebanyak 10 unit antaranya membabitkan DUN Serkam, Ayer Molek, Tanjung Bidara dan Paya Rumput yang mana rumah ini kita serahkan kepada Japerun untuk keperluan kecemasan, bencana atau isu tertentu.

“Manakala untuk baki 18 unit rumah lagi kita akan siapkan yang mana mengikut perancangan dalam setahun kita akan bina dua atau tiga unit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Jun 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri

Menurut beliau, LPM bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembinaan rumah transit, malah turut melaksanakan program CSR membabitkan pembinaan semula rumah untuk golongan yang terkesan akibat bencana seperti kebakaran selain membantu pemilik rumah uzur yang layak menerima bantuan baik pulih.

“Di LPM kita melaksanakan dua program CSR iaitu membina rumah transit dan rumah bencana. Bagi rumah bencana, kediaman yang memenuhi syarat dan layak, LPM akan membina semula rumah tersebut dengan kos RM70,000.

“Manakala rumah-rumah uzur yang layak, bantuan baik pulih RM20,000 akan disalurkan dan sehingga kini LPM telah bina lebih 61 kediaman bagi bina baharu termasuk baik pulih menerusi program CSR,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

478
Kongsi :
Previous post RUMAH BAHARU HADIAH TERINDAH BUAT KHADIJAH
Next post NUR JASMINE TEMUI ISLAM MELALUI KASIH IBU ANGKAT