Sorting by

×

NUR JASMINE TEMUI ISLAM MELALUI KASIH IBU ANGKAT

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

KESIDANG 23 Jun – Perjalanan hidup Nur Jasmine Qaisara Lee Shin Yi, 25, memeluk Islam sejak 2016 akhirnya membawa dia ke fasa baharu sebagai wanita Muslim apabila selamat mendirikan rumah tangga bersama pasangan pilihan hatinya.

Nur Jasmine Qaisara memeluk Islam ketika masih di sekolah menengah selepas melalui perubahan besar dalam kehidupannya sebagai seorang remaja apabila ibu bapanya berpisah menyebabkan dia ketika itu kemudian dijaga keluarga angkat berketurunan Melayu.

“Saya tinggal dengan ibu angkat selepas ibu bapa berpisah, saya memerhatikan dan tertarik dengan cara hidup mereka terutama menunaikan solat lima waktu. Cara hidup sebagai Muslim akhirnya membuka hati saya untuk mengucapkan dua kalimah syahadah,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini pada Program Pernikahan dan Walimatul Urus Mualaf Negeri Melaka Siri 1/2026 yang disempurnakan Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Mohd Hairulamin Mohd Sis di Laman Kaca, Tengkera, di sini 20 Jun lalu.

Anak kedua daripada tiga beradik yang kini bertugas sebagai pentadbir di sebuah kilang berkata, dia dipertemukan dengan pasangan hidupnya, Muhammad Isyraq Mohd Nazli, 25, pada tahun 2020.

“Ketika itu kami menyertai pasukan Askar Wataniah. Kepada semua doakan hubungan kami kekal sampai hujung nyawa, sebagai suami isteri kami akan sentiasa memperbaiki diri masing-masing bagi menjamin keutuhan rumah tangga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

461
Kongsi :
Previous post LPM SELESAI BINA 10 RUMAH TRANSIT
Next post PELANTIKAN JABATAN, BAPA ANGKAT SUNTIK SEMANGAT ATLET SUKMA MELAKA