
PELANTIKAN JABATAN, BAPA ANGKAT SUNTIK SEMANGAT ATLET SUKMA MELAKA
AYER KEROH 23 Jun – Inisiatif pelantikan bapa angkat dan jabatan angkat dilihat mampu membantu atlet Melaka untuk memberikan persembahan terbaik pada pentas Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, Ogos ini.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam berkata, inisiatif itu juga akan memastikan kebajikan dan keperluan atlet, jurulatih serta pegawai pasukan sentiasa terjaga.
“Saya amat teruja dengan penyampaian sijil pelantikan ini kerana ia membuktikan komitmen bersama dalam memastikan atlet negeri mendapat sokongan terbaik.
“Tujuan pelantikan bapa angkat, jabatan angkat dan anak angkat ini adalah untuk meringankan beban yang dipikul oleh persatuan sukan khususnya dalam aspek logistik serta pelbagai keperluan atlet sepanjang persediaan menghadapi SUKMA Selangor,” katanya.
Shanmugam yang juga Ketua Kontinjen SUKMA Melaka berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Jun 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin selaku penganjur perhimpunan kali ini, Ketua-ketua Jabatan Negeri Melaka serta Persekutuan.
Terdahulu, majlis penyerahan watikah Bapa Angkat, Jabatan Angkat dan Anak Angkat disempurnakan Ketua Menteri dan dalam majlis sama Pengarah Bahagian Khidmat Musaadah Dan Pembangunan Belia, Sha’ari Samsudin diumumkan akan mengetuai kontinjen Para SUKMA 2026.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


