
SUKAN SAWAH KEMBALIKAN NOSTALGIA DI KAMPUNG BUKIT PIATU
BUKIT KATIL 23 Jun – Gelak tawa peserta yang bergelumang lumpur, sorakan penyokong di tepi bendang dan semangat kesukanan tanpa mengira usia mewarnai Sukan Sawah Bukit Piatu Utara yang diadakan di Kampung Bukit Piatu.
Program itu berjaya menghimpunkan kira-kira 500 peserta yang mengambil peluang merasai sendiri pengalaman menyertai pelbagai permainan tradisional berasaskan sawah padi yang semakin jarang ditemui pada masa kini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Piatu Rasul Manan berkata, program itu dianjurkan bagi menghidupkan kembali sukan tradisional selain mengeratkan hubungan masyarakat setempat.
“Sambutan luar biasa yang diterima membuktikan aktiviti berasaskan warisan dan budaya tempatan masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
“Kita memilih konsep sukan sawah kerana ia dekat dengan budaya masyarakat kampung dan boleh disertai semua lapisan umur.
“Insya-Allah kita akan adakan edisi ketiga pada masa akan datang dan berharap dapat menjemput Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk turut hadir,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu program berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abd Halim.
Pelbagai acara unik dan mencabar diadakan sepanjang program itu termasuk berjalan di atas titi sawah, pukul bantal, lumba basikal dalam kawasan bendang, menangkap ikan, memanjat tiang licin, tarik tali dalam sawah, pertandingan bola sepak serta boling kelapa.
Rasul berkata, antara acara yang paling mencuri tumpuan ialah pertandingan menangkap ikan dan tarik tali dalam sawah apabila peserta sanggup bergelut dalam lumpur demi membantu pasukan masing-masing meraih kemenangan.
“Turut diadakan ialah lumba lari kanak-kanak dalam sawah yang bukan sahaja menghiburkan pengunjung, malah memberi pengalaman baharu kepada generasi muda yang kebanyakannya tidak lagi terdedah dengan kehidupan dan aktiviti di kawasan bendang.
“Penganjuran program seperti ini bukan sekadar menyediakan platform rekreasi kepada masyarakat, malah membantu memupuk semangat kerjasama, toleransi dan perpaduan dalam kalangan peserta.
“Apabila semua turun ke sawah dan bermain bersama-sama, tiada lagi jurang usia atau latar belakang. Inilah yang kita mahu lihat, masyarakat berkumpul, berkenalan dan mengeratkan silaturahim dalam suasana santai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


