Sorting by

×

WRUR: 161 PROJEK PEMBANGUNAN BERNILAI RM6.5 JUTA SEJAHTERAKAN WARGA RIM

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

RIM 23 Jun – Sebanyak 161 projek pembangunan termasuk naik taraf bernilai lebih RM6.5 juta telah dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim dalam tempoh empat tahun setengah bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, pihaknya memberi fokus kepada tiga aspek utama iaitu penyediaan tempat tinggal yang selesa, akses pendidikan serta peluang menjana pendapatan penduduk.

Beliau berkata, kesemua inisiatif yang dilaksanakan itu bukan sekadar menumpukan kepada pembangunan fizikal, bahkan turut memberi keutamaan terhadap kesejahteraan dan kemenjadian masyarakat setempat.

“Penyediaan tempat tinggal selesa menjadi aspek utama dan di bawah pentadbiran saya lebih 100 unit rumah telah berjaya diangkat untuk menerima kelulusan bantuan baik pulih termasuk pembinaan rumah baharu.

“Ini kerana kita mahu memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik memandangkan tempat tinggal yang selesa merupakan asas penting dalam membentuk kesejahteraan sesebuah keluarga.

“Manakala aspek kedua pula yang diberi fokus adalah akses pendidikan yang merangkumi peringkat sekolah sehingga institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak tercicir daripada memperoleh peluang pendidikan yang berkualiti,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program WRUR DUN Rim yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran Masjid At-Taqwa Kampung Rim, di sini, pada Ahad.

Menurut Khaidhirah, usaha memperkasakan ekonomi penduduk terus diberikan perhatian menerusi pelbagai inisiatif yang membuka ruang kepada masyarakat menjana pendapatan sekali gus meningkatkan taraf hidup.

“Selain sektor pertanian, DUN Rim mempunyai pelbagai potensi ekonomi lain yang semakin berkembang antaranya sektor pelancongan apabila kemudahan inap desa yang ditawarkan di sini mempunyai kemudahan fasiliti serba lengkap selain penganjuran Jamboree Mountain Bike Challenge yang sudah memasuki tahun ketiga dan mendapat penyertaan negara Asia Tenggara.

“Malah, perusahaan batik di sini juga menunjukkan potensi amat baik menerusi kerjasama erat dengan agensi berkaitan dalam usaha menghasilkan produk yang lebih berkualiti dan berdaya saing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

469
Kongsi :
Previous post WRUR RIM: MPJ TEBANG POKOK BERISIKO DEMI KESELAMATAN
Next post SUKAN SAWAH KEMBALIKAN NOSTALGIA DI KAMPUNG BUKIT PIATU