
WRUR RIM: MPJ TEBANG POKOK BERISIKO DEMI KESELAMATAN
RIM 23 Jun – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) melaksanakan operasi kerja-kerja cantas dan tebang pokok serta semak samun yang dipercayai berisiko kepada pengguna jalan raya sekitar Kampung Chenderah menerusi Program Gotong-Royong Perdana sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, operasi tersebut dijalankan serentak di empat lokasi sekitar kawasan tersebut membabitkan Balai Raya Chenderah; Jalan Kumpai; Jalan Chenderah dan Taman Chenderah.
Katanya, usaha itu dilaksanakan bagi menangani isu yang sering diadukan penduduk kerana ia melibatkan keselamatan dan keselesaan rakyat dan pengguna jalan raya.
“Operasi ini melibatkan MPJ bersama dengan beberapa agensi berkaitan membabitkan pokok-pokok berusia lebih puluhan tahun yang rimbun di tanah perkuburan, tepi-tepi jalan raya dan berhampiran lokasi tumpuan seperti masjid, balai raya dan lain-lain.
“Fokus MPJ menerusi operasi ini adalah mengenal pasti pokok-pokok yang menganggu laluan utama serta menjejaskan pencahayaan jalan pada waktu malam, selain kita mahu elakkan kejadian pokok tumbang jika berlaku hujan lebat.
“Kita juga kenal pasti ada antara pokok yang ditebang berusia lebih 10 tahun dan memerlukan tindakan segera bagi memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terjamin,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Program Gotong-Royong Perdana Kampung Chenderah sempena WRUR DUN Rim, di sini, hari ini.
Turut bersama pada program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim merangkap Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Mengulas lanjut, Muhammad Zahiruddin berkata, MPJ membawa pelbagai jentera termasuk jengkaut dan lori roro bagi mempercepatkan kerja-kerja pembersihan yang dilaksanakan.
Tambahnya, operasi itu turut menjadi platform memperkukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, Kerajaan Negeri dan masyarakat dalam usaha menjaga kebersihan dan kesejahteraan kawasan persekitaran.
“MPJ selalunya melaksanakan gotong-royong ini secara berkala, namun sempena WRUR DUN Rim, kita menggerakkan lebih banyak agensi untuk bersama-sama dengan MPJ supaya operasi ini dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan menyeluruh,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


