Sorting by

×

MIIEX 2026 CIPTA REKOD, LONJAK EKOSISTEM INOVASI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

REMBIA 26 Jun – Melaka terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab penyelidikan dan inovasi apabila Melaka International Intellectual Exposition (MIIEX) 2026 mencipta sejarah dengan menerima lebih 900 penyertaan, jumlah tertinggi sepanjang penganjurannya.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof. Ir. Ts. Dr. Juliana Johari berkata, penganjuran itu turut mendapat peningkatan penyertaan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi, sekolah serta pemain industri dari dalam dan luar negara.

Katanya, program tersebut telah dianjurkan UiTM Cawangan Melaka pada 24 dan 25 Jun dengan tema ‘Inclusive Digital Futures’.

“MIIEX 2026 menjadi platform menghimpunkan hasil penyelidikan, inovasi dan idea komersial yang menyokong agenda pendigitalan serta pembangunan teknologi selaras dengan aspirasi ASEAN Digital Masterplan 2030.

“Selain menjadi medan pertandingan inovasi, program ini dapat membuka ruang kepada penyelidik, akademia dan pemain industri menjalinkan kerjasama strategik bagi mempercepatkan pemindahan teknologi, pengkomersialan produk serta pembangunan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya merasmikan Program MIIEX 2026 di Dewan Taming Sari, UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Prof. Juliana berkata, antara tumpuan utama edisi kali ini adalah Anugerah Khas Ketua Menteri Melaka yang mengiktiraf inovasi berimpak tinggi dalam tiga kategori iaitu Profesional, Varsiti dan Young Talent.

Tambahnya, bagi kategori Profesional, anugerah itu dimenangi Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kampus Marang manakala kategori Varsiti dimenangi UiTM Shah Alam dan kategori Young Talent pula menjadi milik GIATMARA Prima Ledang.

“Kejayaan merekodkan jumlah penyertaan tertinggi itu mengukuhkan lagi peranan Melaka sebagai antara lokasi penganjuran platform inovasi bertaraf antarabangsa ini.

“Program seumpama ini mampu mencungkil idea baharu, memperkasa penyelidikan dan merangsang pembangunan ekonomi berasaskan teknologi serta inovasi,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

540
Kongsi :
Previous post 631 VETERAN ATM DITEMPATKAN DALAM SEKTOR BERPENDAPATAN TINGGI
Next post MPHTJ PERKETAT SYARAT CCC, PEMAJU WAJIB GUNA POKOK TEMPATAN