Sorting by

×

631 VETERAN ATM DITEMPATKAN DALAM SEKTOR BERPENDAPATAN TINGGI

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BANDA HILIR 26 Jun – Seramai 631 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor berpendapatan tinggi menerusi kerjasama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dengan lebih 195 agensi awam dan syarikat swasta sehingga Mei tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata penempatan itu melibatkan pelbagai sektor termasuk industri aeroangkasa, automotif, logistik dan perkhidmatan dengan tawaran gaji mencecah RM5,000 sebulan.

Katanya, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi memastikan veteran bukan sahaja berjaya membina kerjaya kedua malah memperoleh peluang pekerjaan yang lebih berkualiti serta menawarkan pendapatan lebih baik.

“Sehingga Mei 2026, PERHEBAT telah menjalin kerjasama dengan lebih 195 agensi awam dan syarikat swasta sekali gus membolehkan lebih 631 veteran ditempatkan dalam sektor seperti aeroangkasa, automotif, logistik dan perkhidmatan dengan julat gaji antara RM2,500 hingga RM5,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) Masterclass di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi PERHEBAT, Prof. Emerita Datuk Dr. Roziah Omar dan Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Datuk Mustaffa Kamil Ayub.

Dalam program itu, Adly turut menyaksikan pertukaran nota persefahaman (NoU) antara PERHEBAT dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawanan Melaka (MISDEC), Ayer Keroh Country Club Bhd. (AKCC) dan Westreet Resources Sdn. Bhd.

Beliau berkata, kerajaan turut memperluaskan kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk di peringkat negeri bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada veteran selepas menamatkan perkhidmatan.

Menurutnya, usaha itu dilaksanakan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan NoU bersama agensi berkaitan bagi memperkukuh aspek latihan serta penempatan pekerjaan.

“Kita sedang memperluas kerjasama supaya lebih ramai veteran dapat ditempatkan di agensi kerajaan negeri dan juga syarikat swasta.

“Matlamat kita adalah memastikan setiap veteran yang menamatkan perkhidmatan mempunyai kerjaya kedua yang mampu meningkatkan taraf ekonomi keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan veteran ATM menamatkan perkhidmatan pada usia sekitar 40 tahun dan masih berada dalam lingkungan usia produktif untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara sama ada dalam sektor awam, swasta mahupun industri berteknologi tinggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

479
Kongsi :
Previous post UMPAN RM5 DAN MI GORENG, WARGA EMAS DITAHAN BANTU SIASATAN KES CABUL
Next post MIIEX 2026 CIPTA REKOD, LONJAK EKOSISTEM INOVASI MELAKA