Sorting by

×

BELIA PERLU PERKUKUH POTENSI DIRI SEBELUM USIA 30 TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

RIM 27 Jun – Anak muda perlu lebih agresif,  melakukan persiapan untuk membina, sekali gus memperkukuh potensi diri dengan memanfaatkan pelbagai peluang latihan, kepimpinan serta keusahawanan yang disediakan kerajaan sebelum mencapai usia 30 tahun.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia merupakan langkah strategik bagi memastikan anak muda lebih bersedia membina masa depan sejak awal, sekali gus melahirkan generasi matang dan berdaya saing.

Menurutnya, kerajaan menetapkan had umur belia kepada 30 tahun bermula tahun hadapan bagi memberi peluang kepada golongan muda memanfaatkan pelbagai program pembangunan diri sebelum melangkah ke alam kehidupan lebih mencabar.

“Anak-anak muda perlu mengambil peluang untuk menerokai bidang kepimpinan, keusahawanan dan latihan yang disediakan kerajaan sebelum mencapai usia tersebut.

“Apabila mereka mencecah usia 30 tahun, mereka sudah mempunyai persediaan yang kukuh hasil penyertaan dalam kursus kepimpinan, latihan kemahiran dan program keusahawanan yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Festival Belia@Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2026 di Stadium Jasin, di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Belia Jabatan Belia dan Sukan Negara Dr. Zainah Shariff dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka Zailani Siran.

Ab Rauf berkata, pendekatan itu juga mampu mengurangkan kebergantungan belia untuk terus berada dalam kelompok umur sehingga melepasi usia 40 tahun dan pada masa yang sama memberi ruang kepada generasi muda lain untuk tampil menerajui kepimpinan.

“Saya melihat anak muda perlu merebut peluang yang ada sebelum usia 30 tahun untuk membentuk potensi diri dan menyediakan masa depan yang lebih baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

363
Kongsi :
Previous post SEMBILAN INDIVIDU TERMASUK PEMANDU CEDERA, BAS EKPRES TERBABAS DI NILAI
Next post PELABURAN BERIMPAK TINGGI PERKASA MASA DEPAN ANAK MUDA MELAKA