
ANUGERAH PERDANA BELIA JULAI INI, PENGIKTIRAFAN UNTUK ANAK MUDA MELAKA
RIM 28 Jun – Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Melaka 2026 dijangka diadakan pada 8 Julai 2026 sebagai usaha mengiktiraf sumbangan dan pencapaian golongan belia di negeri ini.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam berkata, penganjuran itu adalah susulan hasil perbincangan bersama Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) bagi memastikan penghargaan kepada belia terus diperkasakan.
“Anugerah ini membabitkan tiga kategori utama bagi golongan lelaki, wanita serta persatuan belia yang cemerlang.
“Selain itu, kita juga ada pengiktirafan dalam bentuk pingat seperti Bintang Khidmat Cemerlang (BKC) dan Pingat Bakti Belia (PBB) yang akan disampaikan pada bulan Ogos ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Festival Belia@Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Stadium Jasin, di sini, semalam.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Belia Jabatan Belia dan Sukan Negara Dr. Zainah Shariff dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka Zailani Siran.
Shanmugam berkata, kedua-dua pengiktirafan itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Julai ini sebagai tanda penghargaan kepada penglibatan aktif belia di Melaka.
“Kita mahu belia di Melaka terus dihargai dan diberi ruang untuk menyerlah dalam pelbagai bidang kerana mereka adalah aset penting negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


