
WRUR RIM : PENDEKATAN TURUN PADANG TERBUKTI BERKESAN SELESAI ADUAN RAKYAT
RIM 28 Jun – Hanya 50 aduan direkodkan sepanjang Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim apabila majoriti isu penduduk telah diselesaikan lebih awal menerusi tindakan pantas di lapangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidirah Abu Zahar berkata, pendekatan turun padang dilaksanakan membolehkan banyak masalah rakyat dikenal pasti dan diselesaikan tanpa perlu menunggu ia menjadi aduan rasmi.
Menurutnya, WRUR bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyelesaian aduan, malah turut membuka ruang kepada masyarakat luar bandar untuk berhubung terus dengan pelbagai agensi kerajaan.
“Kita bawa agensi seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan lain-lain turun ke kampung supaya penduduk, khususnya petani serta pekebun kecil dapat mengetahui peluang serta bantuan disediakan.
“Ramai sebenarnya tidak tahu kewujudan kemudahan ini, jadi bila kita turun padang mereka boleh terus bertanya dan mendapat maklumat secara terus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Festival Belia@Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Stadium Jasin, di sini, semalam.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Belia Jabatan Belia dan Sukan Negara Dr. Zainah Shariff dan Pengarah Jabatan Belia serta dan Sukan Negeri Melaka Zailani Siran.
Khaidhirah yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri berkata, selain aduan rasmi, pihaknya turut menemui pelbagai isu di peringkat akar umbi melalui lawatan rumah ke rumah.
“Kebanyakan isu telah diselesaikan segera, namun lebih penting ialah penemuan isu-isu tersembunyi di lapangan seperti golongan rentan yang memerlukan bantuan segera.
“Antaranya ada keluarga yang menjaga ibu bapa terlantar dan rumah yang mengalami masalah asas seperti bekalan elektrik. Semua ini kita ambil tindakan lanjut dengan kerjasama agensi berkaitan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


