Sorting by

×

RENTAK PERAHU NAGA SERLAH MAGIS SUNGAI MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

BANDA HILIR 28 Jun – Penganjuran Perlumbaan Perahu Naga 2026 terus memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan apabila berjaya menarik kehadiran peserta dan pelancong dari dalam serta luar negara.

Acara yang diadakan bersempena Pesta Perahu Naga Melaka Ke-41 itu merupakan anjuran bersama Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka; Persatuan Perahu Naga Negeri Melaka dan Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM).

Pengarah Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Produk PPSPM, Khairunnisa Ibno Masooda, berkata pertandingan yang menghimpunkan 115 pasukan termasuk penyertaan pasukan dari lima negara itu bukan sekadar acara sukan air malah menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan menerusi kehadiran peserta, ahli keluarga serta pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.

Malah, beliau berkata, acara itu juga membantu merancakkan tarikan pelancongan di sepanjang Sungai Melaka, selain turut memacu ekonomi di kawasan itu.

“Bukan sekadar sebuah pertandingan, malah kehadiran peserta-peserta ini membantu juga merancakkan lagi pelancongan di Melaka. Kalau kita lihat di kiri dan kanan Sungai Melaka dipenuhi pelancong dan pengunjung yang datang menyaksikan pertandingan ini berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini pada Majlis Perasmian Penutup Perlumbaan Perahu Naga sempena Pesta Perahu Naga Melaka Ke-41 Tahun 2026, di sini, hari ini.

Terdahulu, pelepasan perlumbaan itu telah disempurnakan oleh Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem yang turut mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyempurnakan perasmian penutup acara itu.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin.

620fcd9a c103 4bc5 ba1a d1a7b9ed2c23
KHAIRUNNISA (dua dari kanan) mengiringi Hee Sem dan Allex menyampaikan cenderahati kepada wakil peserta Perlumbaan Perahu Naga 2026.

Khairunnisa berkata,  sebagai tanda menghargai sokongan peserta dan pengunjung, PPSPM turut menawarkan promosi istimewa bagi perkhidmatan Melaka River Cruise sepanjang dua hari acara tersebut berlangsung.

Jelas beliau, tawaran itu diberikan kepada peserta, sekretariat dan pengunjung yang memakai baju rasmi perlumbaan perahu naga, di mana mereka layak menikmati diskaun 10 peratus bagi tiket Melaka River Cruise, manakala ahli keluarga yang datang bersama turut menerima diskaun lima peratus.

“Promosi ini bertujuan menggalakkan peserta dan penyokong meluangkan masa menikmati pengalaman menelusuri Sungai Melaka selepas tamat pertandingan, termasuk pada waktu malam.

“Dari segi operasi, Melaka River Cruise berjalan seperti biasa bermula awal pagi. Cuma kita membuat kawalan lalu lintas di Sungai Melaka supaya perlumbaan berjalan lancar dan pada masa sama pengunjung masih boleh menikmati pelayaran seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu mencerminkan komitmen PPSPM dalam memastikan penganjuran acara bertaraf antarabangsa dapat dilaksanakan seiring dengan kelangsungan produk pelancongan ikonik Melaka, sekali gus memberi pengalaman terbaik kepada peserta dan pelancong.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

810
Kongsi :
Previous post PERLUMBAAN PERAHU NAGA ANGKAT SUNGAI MELAKA DESTINASI BERPRESTIJ SUKAN AIR