Sorting by

×

TAMAN PENDAMAR INDAH PERUMAHAN BERKUALITI, PENUHI KEPERLUAN KELUARGA MODEN

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER MOLEK 16 Julai – WEBEST Group terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri pembangunan hartanah di Melaka apabila melancarkan projek perumahan terbaharunya, Taman Pendamar Indah.

Projek perumahan di mukim Bukit Lintang itu mendapat sambutan memberangsangkan dengan lebih 80 peratus daripada keseluruhan 158 unit rumah teres setingkat berjaya dijual.

Pengarah WEBEST Group, Lydia Lim berkata, sambutan positif yang diterima membuktikan permintaan tinggi terhadap kediaman berkualiti yang menawarkan lokasi strategik serta memenuhi keperluan keluarga moden.

Menurut beliau, Taman Pendamar Indah dibangunkan dengan penekanan terhadap aspek keselesaan, kualiti dan fungsi bagi memastikan ia menjadi kediaman yang sesuai didiami dalam jangka masa panjang.

“Lebih daripada sekadar mencapai jualan yang baik, keutamaan kami adalah memastikan setiap rumah disiapkan dengan kualiti yang tinggi dan memenuhi kepercayaan yang diberikan oleh para pembeli.

“Itulah komitmen kami sejak lebih tiga dekad lalu dan kami akan terus berusaha menawarkan pembangunan yang bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, malah memberikan nilai jangka panjang kepada pembeli,” katanya.

Terdahulu, pelancaran projek perumahan itu telah disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan turut dihadiri wakil institusi kewangan, rakan perniagaan, agensi hartanah, pembeli serta jemputan lain.

Menurut Lydia, projek itu turut mendapat perhatian pembeli berikutan lokasinya yang strategik serta mempunyai akses mudah ke kawasan bandar dan pelbagai kemudahan termasuk pendidikan, kesihatan dan komersial.

Katanya, rangkaian jalan utama yang menghubungkan pembangunan tersebut turut menjadi antara faktor utama yang mendorong pembeli memilih Taman Pendamar Indah sebagai kediaman pilihan.

WEBEST Group yang berpangkalan di Melaka telah bertapak dalam industri selama lebih 33 tahun, bermula sebagai syarikat pembinaan sebelum berkembang menjadi pemaju hartanah dengan portfolio merangkumi pembangunan kediaman, komersial dan hospitaliti.

Sehingga kini, syarikat itu telah berjaya menyiapkan lebih 75 projek, sekali gus mencerminkan rekod penyampaian yang kukuh kepada para pelanggan.

Antara projek yang pernah dibangunkan oleh syarikat itu termasuk The Quartz, NOA Residence dan Duyung Business Park, yang mengukuhkan lagi reputasi WEBEST Group dalam pasaran hartanah Melaka.

Pada masa sama, syarikat itu turut meneruskan momentum pertumbuhannya menerusi beberapa pembangunan baharu termasuk 29 Reserve dan Amai Residence, selain membangunkan Moxy Melaka, hotel pertama di bawah jenama Marriott International di negeri ini yang dijadual memulakan operasi pada awal tahun 2027.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

434
Kongsi :
Previous post KARNIVAL RIANG RIA ISLAM: MAIM DEDAH ILMU FARDU AIN UNTUK ANAK ASNAF
Next post BERGAMBAR DENGAN BOT ‘ZEBRA’, DAPAT DISKAUN ZOO MELAKA