REZEKI BAKAL CAHAYA MATA PERTAMA, KAKITANGAN SAMB MENANG PROTON SAGA

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 29 Julai – Pemenang hadiah cabutan bertuah utama Majlis Hari Keluarga Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) 2026 menganggap kejayaan memandu pulang sebuah Proton Saga adalah rezeki bakal cahaya mata pertamanya.

Akhil Ikhtidar Abd Rahim, 28, ketika ditemui meluahkan rasa syukur atas rezeki yang tidak diduga dan dianggap sebagai istimewa kerana dia bersama isteri bakal menimang cahaya mata pertama September ini.

Katanya lagi, Proton Saga dimenanginya itu bakal memudahkan lagi urusannya hariannya selepas ini dan memberikan lebih keselesaan kepada isteri serta bayi mereka bakal lahir.

“Sebelum ini saya memang sudah ada kereta, tetapi atas dasar keselesaan isteri yang berbadan dua saya beri dia guna kenderaan itu. Memang saya agak risau aspek keselamatan isteri kerana kami tinggal berjauhan berikutan dia bekerja di Simpang Renggam, Johor.

“Saya pula selesa menunggang motosikal untuk berulang-alik antara rumah di Ramuan China Besar dan pejabat SAMB di Pekan Masjid Tanah,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Terdahulu Akhil Ikhtidar menerima replika kunci kereta dimenangi disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang bersama-sama hadir memeriahkan majlis berkenaan yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, pada Ahad.

Hadir sama Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Timbalan Pengerusi SAMB Datuk Roslan Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif SAMB Datuk Mohd Saleh Jusman serta Ahli-Ahli Lembaga Pengarah SAMB.

Dia yang bertugas sebagai pembaca meter di SAMB Masjid Tanah menganggap penganjuran majlis hari keluarga itu sebagai satu bentuk penghargaan daripada pengurusan syarikat utiliti berkenaan kepada seluruh warga kerja dan ahli keluarga masing-masing.

“Berkhidmat dalam sektor ini memerlukan banyak pengorbanan, kami bertugas tidak kira masa, siang atau malam, panas atau hujan, keluarga pula terpaksa ditinggalkan buat sementara waktu.

“Alhamdulillah penganjuran majlis seperti ini menterjemahkan keprihatinan pihak pengurusan SAMB terhadap aspek kebajikan kakitangan dan ahli keluarga kami,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

461
Kongsi :
Previous post KAMPUNG KEMBOJA MELAKA POPULARKAN ‘TONGMO’