
LPM BINA BAHARU, BAIK PULIH KEDIAMAN UZUR DI DUN PAYA RUMPUT
PAYA RUMPUT 29 Julai – Sebanyak lima buah rumah dibina baharu, manakala 13 lagi dibaik pulih menerusi Program Melaka Rumahku dilaksanakan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.
Timbalan Pengarah LPM Mohd Salleh Hamidon berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dilaksanakan pihaknya dengan kos keseluruhan diluluskan berjumlah RM527,000.
Katanya, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri menerusi LPM dalam memastikan rakyat yang berdepan kesukaran memiliki kediaman yang lebih selesa, selamat dan berkualiti.
“Kami memperuntukan RM350,000 bagi pembinaan lima kediaman baharu atau RM70,000 bagi setiap rumah. Sementara itu kerja-kerja baik pulih 13 kediaman pula melibatkan kos keseluruhan RM177,000.
“Projek bina baharu dan baik pulih ini akan dilaksanakan segera. Mengikut kebiasaan pelaksanaan projek bina baharu mengambil masa kira-kira tiga bulan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih LPM sempena program WRUR DUN Paya Rumput yang turut dihadiri isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datin Ernie Aidilia Karim.
Menurut Mohd Salleh, bantuan dihulur bukan sahaja dapat meringankan beban penerima malah memberi kelegaan kepada keluarga yang selama ini tinggal dalam kediaman uzur atau tidak lagi selamat dihuni.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

