KETUA MENTERI TURUN PADANG, DENGAR DENYUT NADI PENIAGA PASAR MBMB

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PENGKALAN BATU 30 Julai – Suasana pagi di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bachang hari ini sedikit berbeza apabila lebih 300 peniaga menerima kunjungan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang turun padang menyantuni mereka dari satu lot ke satu lot.

Beliau meluangkan masa kira-kira sejam beramah mesra dan bertanya khabar dengan para peniaga selain mendengar sendiri pelbagai isu yang dibangkitkan termasuk cabaran menjana pendapatan berikutan perubahan corak pembelian pengguna yang lebih memilih platform jualan secara dalam talian.

Antara yang dibangkitkan peniaga termasuk Persatuan Peniaga Pasar Besar MBMB adalah cadangan supaya lebih banyak program jualan diadakan di kawasan pasar bagi menghidupkan semula suasana perniagaan serta menarik kehadiran orang ramai.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan MBMB supaya bertindak sebagai agensi pelaksana bagi menganjurkan pelbagai program jualan bersesuaian termasuk aktiviti jualan berkonsepkan Jualan Rahmah dan inisiatif lain yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Pasar Besar MBMB.

Hadir sama pada lawatan itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin; Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman; Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dan Setiausaha MBMB, Muhammad Firdaus Shariff serta Pengerusi Persatuan Peniaga MBMB, Gui Hock Seng.

Selesai menyantuni peniaga, Ab Rauf turut meluangkan masa bersarapan di medan selera pasar berkenaan bersama orang ramai.

Kesempatan itu dimanfaatkan beliau untuk terus beramah mesra dan bertanya khabar peniaga makanan serta membelanja pengunjung yang sedang menikmati sarapan.

Sebelum mengakhiri lawatan, Ketua Menteri sempat membeli beberapa barangan basah daripada peniaga sebagai tanda sokongan terhadap perniagaan tempatan, sekali gus menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus mendekati rakyat dan memahami denyut nadi komuniti secara langsung.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

521
Kongsi :
Previous post MAJIKAN PERLU BERI PERHATIAN ANCAMAN PSIKOSOSIAL TEMPAT KERJA