MELAKA BERSELAWAT, PROGRAM PATRIOTIK WARNAI SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN 2026 PERINGKAT NEGERI MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

KLEBANG 3 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka di Persiaran Dataran Klebang dari 29 hingga 31 Ogos ini dijangka lebih meriah dengan menampilkan pelbagai acara baharu dan unik sesuai dengan objektif penganjurannya untuk meniup semangat patriotisme serta cintakan negara dalam kalangan rakyat.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Ketua Menteri Melaka Norena Jaafar berkata, sambutan dimulakan dengan Program Melaka Berselawat Sempena Merdeka pada malam 29 Ogos diikuti Sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos dan Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.

Katanya, pemilihan lokasi baharu itu juga akan memberikan lebih keselesaan kepada pengunjung dan mengurangkan risiko kesesakan apabila pihak penganjur menyediakan sebanyak 11 lokasi parkir awam.

“Turut disediakan perkhidmatan bas dan van perantara (shuttle) sepanjang penganjuran berlangsung. Semua lokasi parkir tersebut akan dilengkapi ‘pickup point’ khas bagi membolehkan orang ramai menaiki bas atau van perantara untuk terus ke tapak sambutan.

“Sebanyak 11 lokasi telah dikenal pasti antaranya di Kompleks Perniagaan Taman Kota Bendahari, Klebang; Bahu Jalan Sekitar Amber Cover; Bahu Jalan Sepanjang KSB-Impression 4, Klebang; Bahu Jalan Sekitar Taman Straits Courtyard, Klebang; The Sail Gallery; Kompleks Perniagaan Taman Limbongan Jaya; Kompleks Perniagaan Taman Kota Shahbandar; Bahu Jalan Sekitar Kawasan Eye On Melaka; Perkarangan Parkir Masjid Al-Aminin, Batang Tiga Timur dan Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang Besar.

“Setiap lokasi ini kita akan sediakan ‘pickup point’ untuk bas serta van shuttle yang akan membawa orang ramai terus ke lokasi tumpuan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas sesi lawatan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke tapak Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2026 Peringkat Negeri Melaka di Persiaran Jalan Klebang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta kenamaan lain.

Katanya, perkhidmatan shuttle bagi Program Melaka Berselawat mula beroperasi seawal jam 6 petang sehingga tamat majlis berkenaan iaitu sekitar jam 11 malam, sementara itu bagi Sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos pula, perkhidmatan sama akan beroperasi bermula jam 5.00 petang sehingga kira-kira jam 2.00 pagi.

“Manakala bagi Sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos pula bermula seawal jam 7 pagi dan diteruskan sehingga acara tamat sekitar jam 2.00 petang. Penyediaan sistem parkir berpusat dan pengangkutan shuttle itu diharap dapat memberikan pengalaman lebih selesa kepada pengunjung selain memastikan kelancaran pergerakan trafik sepanjang sambutan yang dijangka menjadi antara acara terbesar Kerajaan Negeri tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

770
Kongsi :
Previous post IBU TUNGGAL SEBAK, JELAJAH KETUA MENTERI MAKBULKAN DOA BAIKI RUMAH UZUR
Next post ZIARAH KASIH DUN PAYA RUMPUT SANTUNI 40 KELUARGA