
ZIARAH KASIH DUN PAYA RUMPUT SANTUNI 40 KELUARGA
PAYA RUMPUT 3 Ogos – Sebanyak 40 keluarga disantuni menerusi Program Ziarah Kasih sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput dengan beberapa isu kebajikan dan perumahan dikenal pasti untuk tindakan susulan agensi berkaitan.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata, program itu melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Katanya, program itu bukan sekadar untuk singgah berjumpa empat mata dengan keluarga berkenaan tetapi menjadi platform mendengar sendiri permasalahan serta keperluan rakyat sebelum tindakan susulan diambil.
“Untuk ziarah kasih ini kita menyantuni 40 buah rumah di seluruh DUN Paya Rumput. Oleh sebab DUN Paya Rumput agak luas, kita bergerak dalam lima kumpulan bagi memastikan setiap keluarga mendapat perhatian.
“Bukan sahaja kita menyantuni mereka kurang bernasib baik, malah kita bertanya sendiri apakah masalah atau keperluan yang diperlukan supaya bantuan serta penyelesaian dapat diusahakan bersama agensi berkaitan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ziarah Kasih Sempena WRUR DUN Paya Rumput yang turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin serta Pengarah JKM Melaka, Halyjah Muhamad, hari ini.
Menurut Rais, menerusi WRUR Kerajaan Negeri berusaha membantu golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman lebih selesa, namun perancangan itu berdepan beberapa kekangan terutamanya soal pemilikan tanah.
“Ini antara dilema sering dihadapi oleh wakil rakyat. Kita mahu membantu menyediakan kediaman yang lebih selesa sama ada melalui baik pulih atau pembinaan baharu tetapi terhalang disebabkan tidak mendapat keizinan daripada pemilik tanah.
“Saya sendiri terkilan kerana masih belum dapat selesaikan satu kes membabitkan warga emas pesakit terlantar kerana tidak mendapat keizinan tuan tanah meskipun kediaman tersebut sudah uzur,” katanya.
Jelasnya, pihaknya amat berharap kepada mana-mana pemilik tanah yang berdepan situasi sedemikian dapat mempertimbangkan aspek kemanusiaan dan ihsan bagi memudahkan urusan membantu golongan kurang bernasib baik.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

