HARI KEBANGSAAN 2026: MELAKA CATAT SEJARAH JULUNG KALI PAMER KAPAL PERANG TLDM

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

KLEBANG 4 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka bakal mencipta sejarah apabila orang ramai diberi berpeluang menaiki dua kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) secara percuma buat sepanjang sambutan bermula 29 hingga 31 Ogos.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Ketua Menteri Melaka Norena Jaafar berkata, kedua-dua aset milik TLDM itu akan berlabuh di perairan Pantai Klebang.

Katanya, ia akan memberi pengalaman eksklusif kepada pengunjung untuk melihat sendiri keupayaan pertahanan maritim negara menerusi konsep lawatan sambil belajar.

“Lebih menarik lagi penyertaan TLDM pada tahun ini merupakan pembaharuan terbesar dalam sejarah penganjuran sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri yang sebelum ini tidak pernah menampilkan aset kapal perang kepada masyarakat.

“Bukan sahaja boleh melihat dari jauh, malah pengunjung turut dibenarkan menaiki kapal perang itu secara percuma sebagai satu pengalaman dan pendedahan kepada masyarakat mengenai aset pertahanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas sesi lawatan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke tapak Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2026 Peringkat Negeri Melaka di Persiaran Dataran Klebang, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Norena berkata, Sambutan kali ini bukan sekadar menyajikan perbarisan, malah bakal berubah menjadi pameran aset keselamatan terbesar apabila turut melibatkan demonstrasi Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta beberapa agensi penguatkuasa lain.

Tambahnya, ruang udara Dataran Klebang turut dijangka menjadi tumpuan apabila pesawat pejuang TUDM termasuk SU-30 MKM, F/A-18 Hornet dan beberapa aset udara lain melakukan lintas hormat selain aksi penerjunan seramai 20 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan JBPM di hadapan pentas utama sebagai acara kemuncak sambutan.

“Kerajaan Negeri menyasarkan penyertaan lebih 12,000 peserta perbarisan membabitkan kontinjen tentera darat, laut dan udara, pelbagai agensi kerajaan, Kerajaan Negeri serta badan beruniform.

“Edisi sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 antara yang terbesar dan paling meriah pernah dianjurkan di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

862
Kongsi :
Previous post TOK RAUF NYALAKAN SEMANGAT OKU JUAL SAMBAL ‘LIVE’, TABAH JAGA BAPA TERLANTAR
Next post ‘MAHU JADI WAKIL RAKYAT KENA JADI RAKYAT’