
TOK RAUF NYALAKAN SEMANGAT OKU JUAL SAMBAL ‘LIVE’, TABAH JAGA BAPA TERLANTAR
DUYONG 4 Ogos – Di sebalik sesi ‘live’ menjual sambal dari rumah, tersimpan kisah ketabahan seorang usahawan orang kurang upaya (OKU), Mohd Norafi Moksin, 38, yang gigih mencari rezeki sambil menjaga bapanya yang terlantar sakit.
Kecekalan Mohd Norafi membina kehidupan menerusi perniagaan sambal dalam talian mendapat perhatian apabila dikunjungi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, pada Ahad.
Turut bersama dalam lawatan itu, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad serta lain-lain kenamaan.
Menurutnya, kunjungan berkenaan bukan sahaja memberi sinar baharu kepadanya, malah menyuntik semangat untuk terus mengembangkan perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan dari rumah.
Lebih menyentuh hati, Mohd Norafi yang mengalami kecederaan ‘break up access injury’ akibat kemalangan pada 2010 sehingga mengakibatkan bahagian kanan badannya lumpuh, turut menjaga bapanya yang kini terlantar dan merupakan asnaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
“Alhamdulillah, terima kasih kepada Kerajaan Negeri, MAIM dan semua yang terlibat dalam program ini. Pada awalnya apabila dimaklumkan Ketua Menteri mahu datang ke rumah, saya memang terkejut dan tidak sangka.
“Sumbangan wang tunai yang diterima juga sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban perbelanjaan harian serta kos penjagaan bapa saya yang memerlukan perhatian sepenuh masa,” katanya kepada Melaka Hari Ini di kediamannya di Kampung Semabok Dalam.
Tidak hanya itu, malah, Mohd Norafi turut menerima sumbangan sebuah telefon pintar baharu daripada Ketua Menteri bagi membantunya menjalankan perniagaan secara dalam talian.
“Sumbangan telefon ini amat bermakna memandangkan peranti lama yang digunakan sebelum ini sering mengalami masalah. Bila dapat telefon baharu ini, saya rasa lebih bersemangat untuk buat ‘live’ dan promosikan jualan supaya lebih ramai orang kenal produk saya,” ujarnya.
Lelaki tabah itu berkata, keprihatinan ditunjukkan Ketua Menteri, wakil rakyat dan agensi yang sanggup meluangkan masa menziarahi keluarganya tidak pernah disangka dan membuatkannya amat terharu kerana masih ada pihak yang mengambil berat akan nasib mereka.
Katanya, perhatian yang diberikan Kerajaan Negeri membuktikan golongan OKU tidak pernah dipinggirkan, malah sentiasa diberi ruang dan sokongan untuk berdikari mengikut kemampuan masing-masing.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kerana menerusi program ini bukan sahaja saya menerima bantuan, tetapi ia memberi keyakinan kepada saya untuk terus berusaha dan tidak mudah berputus asa walaupun kehidupan agak mencabar,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

