‘MAHU JADI WAKIL RAKYAT KENA JADI RAKYAT’

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

PENGKALAN BATU 4 Ogos – Menjiwai serta memahami rakyat adalah ciri utama yang perlu ada dalam diri setiap bakal wakil rakyat atau Yang Berhormat (YB).

Mengulas mengenai perkara itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ciri itu sudah pasti akan membantu YB atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dipilih menguruskan kawasan masing-masing dengan lebih efisien, cekap dan melancarkan setiap perancangan menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Seorang bakal wakil rakyat perlu tahu bagaimana mahu hendak uruskan rakyat, perlu faham apa itu kesusahan rakyat, sentiasa beri perhatian kepada rakyat dan cara menangani rakyat ketika diuji dengan musibah atau bencana.

“Wakil rakyat adalah individu yang paling rapat dengan rakyat, tempat rakyat mengadu, sebab itu kalau mahu jadi wakil rakyat terlebih dulu kena jadi rakyat, fahami denyut nadi rakyat,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Dewan Terbuka Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Taman Seri Cempaka sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, di Taman Seri Cempaka, sini, hari ini.

Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Adun Pengkalan Batu Datuk kalsom Noordin serta Adun Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong

Yang turut hadir Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan dan Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.

Pada majlis sama Ketua Menteri turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada lima buah Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka, RM4,500 kepada sembilan Rumah Mengaji, serta RM4,800 kepada empat orang veteran, di samping sumbangan kepada wakil komuniti Cina dan India.

Turut berlangsung penyampaian sumbangan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) (Bantuan One-Off dan Biasiswa), kenduri Rakyat dan agihan 1,000 ekor ayam segar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

378
Kongsi :
Previous post HARI KEBANGSAAN 2026: MELAKA CATAT SEJARAH JULUNG KALI PAMER KAPAL PERANG TLDM
Next post TAK TUNGGU PILIHAN RAYA, KEPIMPINAN TOK RAUF TERUS TURUN BANTU RAKYAT