TAK TUNGGU PILIHAN RAYA, KEPIMPINAN TOK RAUF TERUS TURUN BANTU RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PENGKALAN BATU 4 Ogos – Kebajikan dan menyelesaikan permasalahan rakyat sentiasa menjadi keutamaan pentadbiran Kerajaan Negeri yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, semua pihak terlibat dalam pentadbiran Kerajaan Negeri sudah diarahkan turun padang menyantuni rakyat sejak dua tahun lalu lalu tanpa menunggu ‘mood’ pilihan raya untuk menunjukkan keprihatinan atau menjaga kebajikan.

Katanya, antara inisiatif terbukti dalam menyelesaikan permasalahan rakyat adalah Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT) yang kemudian disusuli dengan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat.

“WRUR yang kita laksanakan ketika ini sudah memasuki siri ke-25 dan kita akan teruskan ke beberapa lagi Dewan Undangan Negeri (DUN). Insya-Allah menerusi WRUR kita akan selesaikan, terus menyantuni dan mendengar cadangan daripada rakyat,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Dewan Terbuka Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Taman Seri Cempaka sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Pengkalan Batu, di Taman Seri Cempaka, sini, hari ini.

Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Adun Pengkalan Batu Datuk kalsom Noordin serta Adun Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong.

Yang turut hadir Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan dan Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.

Ab Rauf berkata, menerusi siri ke-10 Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Pengkalan Batu, beliau telah turun dan melihat sendiri perkembangan tahap penyelesaian permasalahan rakyat.

“Pendekatan merakyatkan pentadbiran dalam kepimpinan pentadbiran kerajaan hari ini bukanlah sesuatu yang baharu dilaksanakan. Sejak awal pentadbiran saya, saya tekad membentuk satu budaya kerja yang cukup jelas, iaitu kerajaan mesti hadir bersama rakyat bukan menunggu rakyat hadir kepada kerajaan.

“Sebab itulah kita turun ke kampung, masuk ke taman perumahan, singgah di rumah-rumah, bertemu komuniti dan menyantuni pelbagai lapisan masyarakat. Bagi saya, apa yang boleh disegerakan, kita segerakan apa yang boleh diselesaikan, kita selesaikan dan apa yang memerlukan perancangan serta peruntukan yang lebih besar, kita terus usahakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

363
Kongsi :
Previous post ‘MAHU JADI WAKIL RAKYAT KENA JADI RAKYAT’
Next post HLN 2026 DIJANGKA TARIK 100,000 PENGUNJUNG KE MELAKA