
HLN 2026 DIJANGKA TARIK 100,000 PENGUNJUNG KE MELAKA
PAYA RUMPUT 4 Ogos – Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2026 yang bakal bermula 6 Ogos ini dijangka menarik kira-kira 100,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjurannya di Stadium Hang Jebat.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, persiapan Melaka sebagai tuan rumah kini telah melepasi 70 peratus dan berada pada landasan terbaik bagi memastikan kelancaran acara yang berbaki tempoh beberapa hari lagi.
Menurut beliau, penganjuran kali ini mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya perasmian Hari Landskap Negara diadakan pada waktu malam sekali gus menjanjikan pengalaman berbeza menerusi pencahayaan landskap yang lebih menarik kepada pengunjung.
“Persiapan saya rasa telah melepasi 70 peratus. Dari sudut kami sebagai tuan rumah, segala-galanya berada dalam keadaan baik.
“Ini kali pertama Hari Landskap Negara dilancarkan pada waktu malam, jadi pengunjung akan dapat menikmati keindahan landskap yang dihiasi dengan pencahayaan yang menarik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Program Walkabout & Penyerahan Apron Kepada Peniaga di Pasar Malam Tampoi sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Paya Rumput, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan Setiausahanya, Muhammad Firdaus Shariff.
Terdahulu, sebelum itu, Rais mengiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh meninjau persiapan akhir HLN 2026 di Stadium Hang Jebat.
Mengulas lanjut, Rais berkata sebanyak 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) dari seluruh negara akan menyertai pertandingan laman landskap dengan menampilkan kreativiti dan identiti masing-masing.
Katanya, antara penyertaan yang menjadi perhatian ialah Majlis Bandar Raya Pasir Gudang (MBPG) yang difahamkan membelanjakan lebih RM300,000 bagi pembinaan laman landskap mereka, selain penyertaan Majlis Daerah Kemaman serta PBT lain.
“Sudah tentu kita juga mempunyai penyertaan daripada PBT di Melaka iaitu MBMB, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) yang akan bersaing menghasilkan laman landskap terbaik,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadual hadir merasmikan sambutan pada 7 Ogos (Jumaat).
Selain pameran dan pertandingan landskap, orang ramai juga bakal disajikan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk konsert menampilkan Kumpulan Slam, Ameng Spring, Spider dan Aisyah Retno pada 7 Ogos, manakala penampilan Raihan, Hijjaz serta Datuk Ustaz Kazim Elias pada malam berikutnya.
Tambah beliau, Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertemakan ‘Negeri Indah, Keluarga Bahagia’ turut diadakan pada 6 Ogos selain pelbagai aktiviti lain seperti pertandingan seni landskap, arca, sukan rakyat dan program melibatkan pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi serta masyarakat umum.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

