
TOK RAUF HADIR BAWA SINAR BUAT WARGA PENGKALAN BATU
PENGKALAN BATU 4 Ogos – Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat membawa makna besar buat segenap lapisan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu apabila menerima manfaat menerusi pelbagai bantuan, sumbangan dan inisiatif Kerajaan Negeri.
Manfaat itu merangkumi pelbagai aspek termasuklah kebajikan, perumahan, belia dan sukan, pemerkasaan syiar Islam serta pembangunan modal insan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, di setiap siri jelajah, beliau tidak pernah datang kosong sebaliknya membawa pelbagai khabar gembira, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan keperluan rakyat di peringkat akar umbi terus diberi perhatian.
Jelas beliau, antara manfaat yang disalurkan termasuk penyerahan Rumah Baiti Jannati tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM99,600 kepada Maszurah Bujal, selain bantuan tunai dan kit makanan berjumlah RM2,200 kepada 11 penerima terpilih.
“Enam pemohon turut menerima Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan Lot 386, manakala golongan belia menerima RM4,000 bagi penyediaan peralatan sukan kepada lapan Geng Pangkin DUN Pengkalan Batu.
“Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan sumbangan baik pulih tiga buah rumah menerusi Melaka Sayang Rakyat berjumlah RM9,900, termasuk sebuah rumah di bawah Program Melaka Rumahku bernilai RM10,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Dewan Terbuka Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Taman Seri Cempaka sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Pengkalan Batu, di Taman Seri Cempaka, sini, hari ini.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Adun Pengkalan Batu Datuk kalsom Noordin serta Adun Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong.
Yang turut hadir Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan dan Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.
Menurut Ab Rauf, siri jelajah itu turut menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada Maimon Othman, seorang warga emas yang cukup dikenali sebagai raja pantun dan kini berdepan penyakit kronik.
Pada masa sama, ujar beliau, dalam memartabatkan syiar Islam dan kesejahteraan komuniti sebanyak RM20,000 telah disalurkan kepada Masjid An-Nikmah selain turut disumbangkan peralatan pengurusan tanah perkuburan bernilai RM2,500.
“Bagi meringankan beban dapur rakyat, sebanyak 200 kampit beras bernilai RM3,600 serta 1,000 ekor ayam percuma telah diagihkan kepada warga Pengkalan Batu.
“Aspek pendidikan dan pembangunan modal insan turut diberi perhatian menerusi sumbangan RM5,000 kepada lima Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka, RM4,500 kepada sembilan Rumah Mengaji dan RM4,800 kepada empat veteran.
“Sumbangan turut diberikan kepada wakil komuniti Cina dan India sebagai sebahagian daripada usaha kita memastikan setiap lapisan masyarakat di Pengkalan Batu terus disantuni,” katanya.
Jelas beliau, itulah pendekatan yang diamalkan Kerajaan Negeri yang bukan sekadar datang melihat rakyat tetapi datang dengan membawa bantuan dan inisiatif yang boleh memberi manfaat secara langsung kepada mereka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

