AB RAUF PERKASA USAHAWAN, PENJAJA KECIL AYER MOLEK

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER MOLEK 4 Ogos – Komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus dizahirkan apabila Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyampaikan bantuan peralatan kepada pengusaha inang-inang tempatan serta suntikan modal kepada penjaja kecil.

Sumbangan itu disampaikan pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Kampung Pengkalan Renggam, hari ini.

Dalam lawatan ke Berkat Global Makmur Enterprise, Ab Rauf menyerahkan sumbangan peralatan perusahaan keropok inang-inang bernilai RM3,000 bagi membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran dan mengembangkan lagi perniagaan usahawan berkenaan.

Selain itu, seramai 10 penjaja kecil sekitar DUN Ayer Molek turut menerima sumbangan perniagaan berjumlah RM10,000 sebagai usaha membantu mereka memperkukuh perniagaan serta meningkatkan pendapatan isi rumah.

Terdahulu, Ketua Menteri meluangkan masa beramah mesra dan minum petang bersama penduduk Kampung Pengkalan Renggam yang menjadi antara pengisian Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat.

Program berkenaan memberi peluang kepada beliau mendengar sendiri pandangan serta keperluan masyarakat setempat di samping meninjau perkembangan perusahaan kecil yang menjadi sumber ekonomi penduduk.

Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

865
Kongsi :
Previous post SENYUMAN, HARAPAN, KISAH RAKYAT WARNAI JELAJAH KETUA MENTERI DUN AYER MOLEK