
SENYUMAN, HARAPAN, KISAH RAKYAT WARNAI JELAJAH KETUA MENTERI DUN AYER MOLEK
AYER MOLEK 4 Ogos – Senyuman rakyat yang menerima khabar gembira memberikan makna besar buat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab beliau sebagai pemimpin.
Katanya, pelbagai kisah disaksikan sepanjang turun padang menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang kini memasuki siri ke-10 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek.
Jelas beliau, Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bukan sekadar perjalanan sebuah konvoi merentasi kampung dan taman perumahan, tetapi ruang untuk beliau sendiri turun mendekati rakyat, memahami realiti kehidupan mereka serta memastikan apa yang dijanji diterjemahkan kepada tindakan.
Ab Rauf berkata, atas semangat itulah, pelbagai bantuan dan inisiatif disampaikan sepanjang jelajah di DUN Ayer Molek dan antaranya adalah bantuan modal berjumlah RM10,000 kepada 10 orang penjaja kecil bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan dan menambah sumber pendapatan;
“Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM70,000 bagi pembinaan sebuah rumah baharu menerusi Program Melaka Rumahku. Sementara itu kita juga memperuntukan sebanyak RM50,000 bagi Bantuan Baik Pulih Melaka Sayang Rakyat, manakala sebuah lagi rumah di Kampung Kandang menerima bantuan baik pulih daripada Majlis Agama Islam Melaka bernilai RM25,000.
“Sumbangan RM3,000 disalurkan kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia DUN Ayer Molek sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan para veteran negara, lima Pertubuhan Perkumpulan Perempuan menerima sumbangan keseluruhan sebanyak RM10,000.
“Sebanyak RM24,000 disalurkan kepada 12 kumpulan marhaban, RM5,000 kepada lima persatuan kompang serta RM2,000kepada Persatuan Warisan Anak Jawa Paya Dalam,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Ayer Molek di Medan Selera R&R Kampung Tambak Paya, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Menurutnya, Kerajaan Negeri tidak melupakan aspek pendidikan apabila sebanyak 10 buah Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka menerima Smart TV dengan RM20,000.
“Manakala, Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Molek pula menerima lebih RM24,000 menerusi Bantuan MeSRa Pendidikan TAPEM yang memberi manfaat kepada lebih 230 orang pelajar. Hasil Manfaat Fidyah Majlis Agama Islam Melaka turut diagihkan
kepada lebih 200 buah institusi pendidikan yang terdiri daripada Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam
Melaka, sekolah kebangsaan dan Institusi Pengajian Tinggi di seluruh negeri Melaka.
“Lebih 10 jenis bantuan dan sumbangan disampaikan sepanjang jelajah ini yang tidak dapat saya sebutkan satu per satu dengan nilai keseluruhan berjumlah RM150,000.
“Bagi saya, nilai bantuan ini bukan terletak pada angka atau jumlah peruntukannya. Lebih penting ialah apabila ia mampu meringankan beban sebuah keluarga, membuka ruang rezeki, mengukir senyuman dan memberi harapan baharu kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


