
KAK SOM TERUSKAN USAHA SELESAI MASALAH RAKYAT
PENGKALAN BATU 5 Ogos – Aduan belum selesai yang disuarakan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu sepanjang Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) sentiasa dalam perhatian Kerajaan Negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin berkata, separuh daripada 300 aduan diterima sepanjang WRUR yang lalu sudah berjaya diselesaikan dan bakinya kini sedang dalam proses tindakan oleh jabatan serta agensi berkaitan.
Katanya, sebagai Adun Pengkalan Batu, menyelesaikan permasalahan berkenaan menjadi fokus utama beliau, sekali gus meningkatkan meningkatkan lagi tahap kesejahteraan di DUN itu.
“Selesai WRUR kita tak tutup buku, kita sentiasa mengemas kini perkembangan dan status terbaharu berhubung isu disuarakan rakyat. Tidak dinafikan ada masalah belum selesai kerana ada yang melibatkan agensi persekutuan, jadi akan mengambil masa.
“Dalam menyelesaikan masalah rakyat saya mendapat kerjasama amat baik daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersjarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Melaka dan banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Dewan Terbuka Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Taman Seri Cempaka sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Pengkalan Batu, disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Taman Seri Cempaka, sini, pada Selasa.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Adun Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan dan Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.
Katanya, siri jelajah itu berlangsung dalam suasana amat meriah dengan penyertaan seramai 330 penunggang meskipun sasaran awal cuma 200 motosikal sahaja.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


